KEDAH akui berhati-hati dan tidak lagi mahu bolos apabila menerima kunjungan Kuala Lumpur di Stadium Darul Aman bagi aksi ke-16 Liga Super 2018, malam esok.

Kemenangan tipis 1-0 ke Kelantan pada 8 Jun lalu menjadi motivasi terbaik buat Lang Merah untuk mengekalkan momentum tersebut di dalam usaha untuk terus memburu tiga mata penuh.

Menurut pengendalinya, Mohd Nidzam Adzha Yusof, pasukannya akan memberi perhatian kepada benteng dan berharap semua pemain fokus dan membantu semasa lawan melakukan serangan untuk memburu gol.

“Kami mahu elak bolos kerana apabila melakukan serangan ke arah lawan terdapat ruang yang perlu diperkemaskan lagi di posisi Kedah.

"Bagaimanapun kami mahu lebih fokus selepas ini (bertemu Kuala Lumpur) dan berjaya meraih motivasi selepas dapat satu kemenangan bertemu Kelantan sebelum sambutan hari raya,” katanya.

Menurut Mohd Nidzam, Kedah perlu belajar daripada kesilapan apabila tewas kepada Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan apabila mudah dibolosi pasukan lawan.

Kedah yang kini berada di tangga keempat liga dengan 24 mata sudah memulakan latihan pada hari raya ketiga.