WAKIL kelab bola sepak universiti dalam Liga Perdana, USM FC bakal menarik diri, musim depan, berikutan kekangan kewangan lapor WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR.

Sebelum ini, kelab tersebut berjaya mencipta sejarah beraksi di liga kedua negara dilihat mempunyai potensi besar selain berjaya mencuri tumpuan pemerhati dan penyokong bola sepak tanah air.
Setiausaha Kelab Bola Sepak Staf Universiti Sains Malaysia, Muhammad Sidek Karim ketika dihubungi mengesahkan laporan itu.

Menurutnya, perkara tersebut   dibincangkan pada mesyuarat pengurusan kelmarin, dan beberapa faktor lain antaranya peningkatan gaji mendadak pemain profesional menyebabkan banyak pemain bakal menyertai pasukan elit lain.

“Difahamkan pengurusan universiti juga gagal membantu berikutan persaingan kompetitif yang semakin meningkat serta memerlukan sumber kewangan besar dan surat rasmi akan dihantar ke Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memaklumkan perkara ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Sidek menjelaskan pihaknya akan membantu Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) dalam membangunkan semula pasukan tersebut bagi menghadapi saingan Liga FAM, musim depan.

Menurutnya, rugi sekiranya pengalaman yang dimiliki USM FC tidak dikongsi bersama pasukan lain.