PENGENDALI The Fighters, B Sathianathan menyifatkan desakan Ketua Pemuda Umno Bahagian Bera, Mohd Zoolihsan Ahmad agar Felda United dibubarkan dari kancah Liga Malaysia tidak masuk akal dan beri pandangan hanya mengikut perasaan.

Jelasnya, sebagai ketua pemuda Umno, Zoolihsan sepatutnya kaji dahulu kesan jika kelab ini dibubarkan.

"Dia (Zoolihsan) tahu tak kalau kelab ini dibubar, ia bukan hanya jejaskan 30 pemain dan 20 pegawai, tetapi ia juga boleh menyebabkan beratus-ratus peniaga di Jengka hilang mata pencarian?

"Beratus-ratus peniaga ini boleh saya katakan 98 peratus adalah orang Bumiputera. Logik tak? Sedangkan dia ketua pemuda Umno.

"Ya, saya tahu, dia masih muda, mungkin darahnya sedikit gemuruh atau mungkin dia terlalu sayangkan Felda, tetapi janganlah bercakap mengikut perasaan. Dia kena kaji secara menyeluruh sebelum berucap," katanya.

Kelmarin, Mohd Zoolihsan ketika berucap di Perhimpunan Agung Pemuda Umno mencadangkan kelab bola sepak itu dibubarkan kerana dianggap pembaziran sedangkan peruntukan itu boleh disalur untuk menampung perbelanjaan program untuk manfaat golongan muda di tanah rancangan Felda.

Bekas Pengendali The Gladiators dan The Red Warrios ini turut melihat kenyataan Zoolihsan yang mengatakan tiada anak peneroka beraksi untuk Felda United juga adalah kenyataan salah sama sekali.

"Dia kata tak ada anak peneroka dalam pasukan? Tahu tak, saya ada empat anak peneroka dalam pasukan utama?

"Kemudian, saya nak beritahu kami juga ada skuad Piala Presiden yang mana, 70 peratus daripada pemain ini adalah anak peneroka Felda.

"Itu belum tambah lagi dengan pemain Piala Belia dan akademi kami yang 80 peratus daripadanya juga adalah anak peneroka," katanya.

Jelas Sathianathan, wakil politik tidak seharusnya menjadikan isu kegagalan kelab itu mendapatkan lesen Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai isu besar sehingga sanggup mencadangkan supaya kelab ini dibubarkan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • FELDA United memandang serius keputusan Perkongsian Liabilti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) tidak membenarkan pasukan itu beraksi di Liga Super 2018 akibat ketiadaan lesen kelab.