PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengingatkan pemain skuad bola sepak negara bimbingan Datuk Ong Kim Swee yang melakar dua kemenangan dalam peringkat kumpulan A Sukan Sea 2017 supaya tidak mempedulikan apa diperkatakan di media sosial.

“Anda (pemain) harus fokus dan beri tumpuan kepada setiap perlawanan dalam pertandingan tersebut.

“Saya juga ingin menyampaikan pesanan kepada para pemain supaya jangan mempedulikan apa yang media cetak atau media sosial perkatakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu berkata, tidak ramai pemain yang dapat menyarung jersi kebangsaan dan mereka harus berasa bangga kerana ini satu penghormatan tertinggi oleh kerana terpilih untuk menyarung jersi kebangsaan.

Tegasnya, usah dilayan dengan pihak yang semata-mata mahu mengkritik sahaja.

“Anda mewakili dan berkorban demi negara. Apa pun keputusan, menang ataupun kalah, biar saya yang tanggung dan berdepan dengan mereka.

“Biar saya yang pikul tanggungjawab tersebut di atas bahu saya kerana negara dan keluarga anda tetap bangga dan berterima kasih kerana anda sudah mencuba yang terbaik dan berjuang untuk negara tercinta,” katanya.

TMJ dalam pada itu turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada skuad kebangsaan atas dua kemenangan mereka dalam peringkat kumpulan A Sukan Sea 2017.

Terdahulu, beraksi di Stadium Shah Alam, Malaysia berjaya menewaskan Brunei dengan jaringan 2-1, manakala Singapura juga dengan jaringan 2-1.

Malaysia kini berkongsi kedudukan sebagai pendahulu Kumpulan A dengan Myanmar yang mengumpul enam mata.