KANGAR - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang akan menganjurkan Sukan Badan-badan Berkanun Malaysia (Sukanun) 2013 berazam mahu menjadi hos terbaik serta menjuarai temasya itu yang dijadual Februari depan. 

Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata berdasarkan pencapaian atlet pada beberapa kejohanan sebelum ini, UniMAP yakin sasaran itu akan menjadi kenyataan. 

UniMAP akan menyertai semua 26 acara pada temasya itu, katanya semasa berucap pada majlis berbuka puasa bersama atlet UniMAP, di sini malam tadi. 

Antara pencapaian terbaik UniMAP dalam kejohanan sukan tahun ini ialah menjuarai Sukan Staf antara Universiti-universiti Awam Malaysia (Sukum) ke-37 dengan memungut empat pingat emas, lima perak dan dua gangsa. 

"Ini bukan juara bagi kali pertama tetapi telah lima tahun berturut-turut UniMAP kekal sebagai johan keseluruhan," katanya. 

UniMAP juga muncul johan keseluruhan kejohanan Golf IPTA 2012 yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok pada Jun lalu, selain menduduki tempat kedua  pada karnival Sukan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) 2012 pada Mei lepas. 

Kamarudin berkata UniMAP juga akan memburu pencapaian terbaik pada Sukan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (SUKIPT) yang dijadual Oktober ini, dengan menghantar 191 atlet. - Bernama