PASUKAN hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL) tekad mencari kemenangan dalam aksi pembuka tirai Liga Hoki Malaysia 2018 menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB) esok.

Kapten pasukan, Marhan Jalil berkata, kemenangan yang dicapai dalam perlawanan itu akan meningkatkan moral pemain untuk mencabar kejuaraan liga musim ini.

Malah, katanya, kekalahan kepada Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dalam saingan peringkat separuh akhir Piala P Alagendra baru-baru ini perlu dilupakan segera setiap pemain.

"Menentang TNB, kami perlu perketat kawalan terhadap beberapa pemain, antaranya Tengku Ahmad Tajuddin dan Firhan Ashaari yang begitu bahaya jika diberi peluang, " ujarnya.

Katanya, disiplin dan fokus tinggi perlu diterapkan dalam diri apatah lagi pemain TNB mempunyai kepantasan dalam menyerang.

Marhan berkata, UniKL perlu manfaat sepenuhnya peluang pukulan sudut penalti bagi memastikan tiga mata berharga menjadi milik mereka.