UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) hari ini melancarkan program Diploma Eksekutif Bola Sepak dalam usaha meningkatkan tahap profesional pemain bola sepak negara.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said berkata, program itu yang mempunyai dua mod pembelajaran, iaitu sepenuh masa dan separuh akan bermula pada Mac 2019.

“Program ini akan membuka peluang kepada pemain sedia ada dan pemain lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran di peringkat diploma berkaitan bola sepak. Ia bersifat eksekutif dan banyak bersandarkan pengalaman di samping perlu mengikuti sesi kuliah atau tutorial.

“Selepas mengikuti program ini, pemain boleh melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah dalam bidang sains sukan dan pengurusan sukan. Kita juga merancang untuk menawarkan program akademik bola sepak di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya.

 Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran program itu dan penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad UiTM ke Asian University Sport Federation Football Championship 2018 di Wisma FAM di sini, hari ini.

Abdullah berkata, tempoh selama lima hingga 10 semester ataupun dua tahun setengah hingga lima tahun diperlukan untuk menamatkan program itu.

Beliau berkata, UiTM FC dipilih menyertai Kejohanan Asian University Sports Federation Football Championship bermula 28 Oktober hingga 11 November selepas muncul juara divisyen 1 Liga IPT 2017 dan juara Piala Menteri Pendidikan 2018.

“Kejohanan ini pertandingan kelayakan untuk memilih dua pasukan terbaik Asia ke kejohanan 'Fisu World Cup' yang akan diadakan di Napoli, Itali pada tahun depan," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memandang positif akan usaha murni dari UiTM demi meningkatkan mutu sukan bola sepak negara.

"Ini memberi ruang kepada mana-mana pemain bola sepak selain berjaya  dalam bola sepak, mereka juga berjaya dalam pendidikan pada masa depan.

"Ini juga adalah satu usaha yang murni maknanya kita memberi peluang kepada pemain-pemain bola sepak kita supaya mereka lebih 'educated' dan berketerampilan kerana program yang ditawarkan ini mempunyai banyak manfaatnya," katanya.  - Bernama