MASA depan gandingan beregu badminton lelaki negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong hanya akan ditentukan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Isnin depan.

Perkara itu disahkan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang menegaskan keputusan ke atas pasangan nombor tujuh dunia itu akan dibuat selepas menilai laporan yang bakal dibentangkan Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen dan jurulatih beregu negara Cheah Soon Kit.

“Morten Frost dan Cheah Soon Kit sebelum ini telah diberi tanggungjawab untuk berjumpa dan mengenal pasti masalah yang melanda mereka (V Shem-Wee Kiong) dan akhirnya laporan tersebut akan dibentangkan pada mesyuarat C&T yang akan diadakan Isnin depan.

“Kita akan membuat penilaian secara terperinci dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum membuat sebarang keputusan muktamad sama ada V Shem-Wee Kiong akan terus dikekalkan atau dipisahkan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Selepas merangkul pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016, pasa-ngan yang mula ‘dibentuk’ sewaktu Piala Thomas 2014 di New Delhi itu turut menjuarai Siri Super Akhir di Dubai selain pernah menduduki ranking pertama dunia.

Namun prestasi tidak konsisten dipamerkan kedua-dua pemain itu tahun ini termasuk terkandas di pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia 2017 di Glasgow, Scotland bulan lepas menimbulkan keresahan dalam kalangan peminat badminton tempatan.

Malah pelbagai pihak turut menggesa BAM agar segera mengambil tindakan sewajarnya dan mencari jalan penyelesaian mengenai kemelut yang melanda gandingan terbabit.

Dalam pada itu Norza turut menolak dakwaan Frost yang mengatakan pasangan terbabit akan dipisahkan untuk digandingkan dengan pasangan baharu seperti yang dilaporkan sebuah akhbar bahasa Inggeris tempatan minggu lalu.

“Apa yang diperkatakan Frost itu mungkin adalah pandangan peribadi beliau sahaja kerana pada akhirnya C&T yang akan menentukan keputusan tersebut,” tambah beliau. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menyambut baik pengumuman senarai baharu atlet Program Podium 2018 meskipun penambahan tujuh nama pemain yang dicadangkan badan induk badminton itu tidak terpilih.
  • PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) melantik bekas pemain beregu kebangsaan, Vountus Indra Mawan Saniru sebagai jurulatih beregu lelaki negara bagi menggantikan Jeremy Gan yang meletakkan jawatan pada 30 September lalu.
  • PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) membuka peluang kepada bekas pemain yang memiliki kepakaran untuk mengisi jawatan jurulatih beregu lelaki negara yang dikosongkan Jeremy Gan, minggu lalu.
  • BUANG ego dan sentiasa berbincang. Demikian nasihat bekas pemain negara, Koo Kien Keat kepada gandingan baharu dibentuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM), iaitu Goh V Shem- Teo Ee Yi manakala Tan Wee Kiong-Ong Yew Sin.
  • APA jua masalah dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) harus diselesaikan segera bagi mengelakkan implikasi lebih buruk kepada badan induk tersebut, lapor MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.