PENGARAH  Teknikal Kelantan, Alfredo Gonzales mengakui pasukannya tidak boleh kalah lagi ketika menanti kunjungan Perak pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Gonzales berkata, hanya kemenangan menjadi buruan skuad kendaliannya selepas tewas dua perlawanan berturut-turut kepada Melaka United dan T-Team dalam dua pertandingan berbeza, sebelum ini.

“Saya sedar, Kelantan tidak ada pilihan lagi selain kembali mencatatkan kemenangan kerana hanya itu sahaja jawapan tepat yang dapat membantu meredakan kemarahan penyokong, ketika ini.

“Jadi, bertemu Perak merupakan perlawanan yang sangat penting, begitu mustahaknya kita perlu mencari kemenangan kerana saya tidak mahu pasukan ini terus dikecam disebabkan prestasi buruk,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Pada masa sama, Gonzales tidak menolak dia akan terus berdepan kecaman di samping The Red Warriors bakal kehilangan sorakan penyokong di stadium keramat mereka sekiranya tewas kepada Perak, malam ini.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Uruguay itu tidak mahu menekan butang panik ketika jawatannya itu dikatakan menjadi taruhan dan kemungkinan besar bergantung pada keputusan menentang skuad bimbingan Mehmet Durakovic.  

“Ini adalah tanggungjawab saya terhadap pasukan dan penyokong di sini. Dalam bola sepak, selepas aksi buruk (kalah), biasanya akan hadir kemenangan dan kita akan melakukan yang terbaik apabila bertemu Perak nanti,” katanya.

Mengulas lanjut persiapan pasukannya, Gonzales memberitahu, khidmat kapten veteran, Mohd Badhri Radzi dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat tidak berada dalam perancangan susulan kecederaan dialami kedua-dua tonggak utama itu.

“Piya (Mohd Badhri) terpaksa berehat sebulan manakala Apex (Khairul Fahmi) mengalami kecederaan bahu untuk tempoh jangka panjang. Apa pun, saya bersama barisan kejurulatihan akan berusaha mencari kesebelasan terbaik untuk pertemuan ini.

“Kami perlu bermain lebih baik ketika bertemu Perak dan menjaringkan gol. Ketika tewas kepada Melaka, kami ada lima hingga enam peluang tetapi gagal meletakkan bola ke dalam jaring dan saya harap ia tidak berlaku lagi malam esok (ini),” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PELUANG beraksi pada Piala Super Boost SportsFix, Januari depan, bakal dimanfaatkan sepenuhnya Kelantan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018.
  • “JIKA anda fikir tidak mahu menjadi juara, lebih baik berhenti bermain bola sepak” Itu komen pemain import baharu The Red Warriors (TRW), Cassio Francisco de Jesus.
  • MOHD Norfarhan Muhammad mahu menjadikan saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018 sebagai pentas terbaik untuk kembali membuat penampilan semula lebih agresif bersama The Red Warriors (TRW).
  • KELANTAN yang digembar-gemburkan bakal melakukan rombakan besar sebaliknya memilih untuk mengekalkan 60 peratus muka lama bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang semakin kompetitif pada musim depan.
  • ALESSANDRO Celin menghadiahkan kejayaan Kelantan kekal dalam saingan Liga Super musim 2018 kepada penyokong pasukan itu selepas dua jaringan lewatnya memastikan kemenangan 3-1 ke atas Melaka United, pada pertemuan terakhir liga, malam kelmarin.