YUSRI Che Lah menganggap dua perlawanan bermula dengan Selangor di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam esok, cukup penting dalam menentukan ‘hala tuju’ Kelantan dalam saingan Liga Super musim depan.

Pengendali interim The Red Warriors itu mengakui, ia minggu yang sukar buat pasukannya apabila menggalas misi wajib menang ke atas Selangor disusuli Melaka United juga di tempat sendiri, Sabtu ini.

Menurutnya, dengan liga semakin hampiri penghujungnya, matlamat utama pasukannya adalah memastikan kemenangan ke atas skuad Muhammad Nazliazmi Nasir terlebih dahulu untuk keluar daripada zon penyingkiran.

“Dua perlawanan yang saya kena beritahu bahawa Kelantan tidak boleh terlepas peluang mendapatkan mata maksimum untuk merapatkan kedudukan dengan pasukan di atas (Negeri Sembilan, PKNP FC).

“Jadi, dalam keadaan pasukan terdesak nak mencari kemenangan, saya harap pemain dapat guna kesempatan bermain di laman sendiri dengan mencuri mata malam esok,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Pengendali kelahiran Perlis itu berkata, dia mahu anak didiknya memanfaatkan kelebihan tersebut dengan memberikan komitmen 100 peratus sambil menggesa mereka tidak lagi mensia-siakan setiap peluang terhidang ketika bertemu skuad Red Giants.  

“Dalam empat perlawanan terakhir lalu, kita tewas akibat kecuaian sendiri. Macam ketika bertemu Perak (kalah 0-1), kita dikecewakan dengan sepakan penalti sahaja.

“Saya fikir pemain kena ingat dalam kedudukan semasa pasukan sekarang, walaupun kita hanya ada satu peluang dalam 90 minit, mereka kena sempurnakan dalam bentuk jaringan untuk pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, Yusri mengambil pendekatan merendah diri apabila menghormati kemampuan Selangor yang bertandang ke Kota Bharu dengan status baharu selaku naib juara Piala FA.

Menurutnya, anak didiknya perlu merantai penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia yang kini mengetuai senarai penjaring terbanyak liga agar tidak dikecewakan di hadapan penyokong sendiri

“Kami hormati Selangor tetapi saya juga tidak mahu ketepikan rasa hormat kepada pemain Kelantan sendiri untuk mereka bekerja keras mendapatkan mata penuh,” katanya.