PAHANG memilih laluan berliku untuk melangkah ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia apabila sekadar seri 1-1 dengan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebentar tadi.

Namun, keputusan itu melegakan skuad Tok Gajah selepas lawan menjaringkan gol pendahuluan sebaik aksi babak kedua bersambung.

Suasana di Stadium Darul Makmur cukup meriah apabila dipenuhi kira-kira 13,000 penyokong terutamanya penyokong tuan rumah, Tok Gajah.

Pada perlawanan itu, JDT terlebih dahulu mengasak skuad Tok Gajah menerusi percubaan Safawi Rasid tetapi tendangan penyerang itu sedikit melepasi palang tuan rumah seawal minit keempat.

Selepas itu, giliran tuan rumah pula melancarkan serangan ke kubu lawan yang berjaya disekat pertahanan JDT.

Namun, peluang terbaik Pahang hadir daripada tandukan Patrick Cruz yang melepasi palang selepas menerima hantaran daripada Mohamadou Sumareh pada minit ke-33 dan keputusan seri tanpa jaringan kekal pada separuh masa pertama.

Sebaik bersambung babak kedua, JDT memberi kejutan pada Tok Gajah apabila berjaya menjaringkan gol pendahuluan hasil sentuhan Gabriel Cabbera yang mebewaskan penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias pada minit ke-46.

Tersentak jaringan itu, skuad kendalian Dollah Salleh menggandakan asakan dan usaha ituberbaloi apabila Pemain tengah Pahang, Safuwan Baharuddin menjaringkan gol pada masa tambahan minit 92 demi mendapatkan keputusan seri 1-1.

Namun, bagi skuad kendalian Dollah Salleh bakal memikul tugas berat kerana JDT diakui memiliki kelebihan beraksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 29 September ini.