RAJA Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah dinasihatkan supaya tidak terpedaya dan mudah tunduk dengan 'jerung-jerung' yang cuba mengambil kesempatan di atas dasar peribadi dalam Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), kata Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail berkata demikian di laman Twitternya, @HRHJohorII selepas diminta mengulas mengenai kemelut yang melanda FAS oleh salah seorang pengikutnya.

Tunku Ismail menjelaskan, sebagai individu yang mempunyai jawatan tertinggi dalam persatuan, Tengku Amir perlu mendapatkan nasihat daripada orang yang betul agar tidak wujud sebarang agenda jahat yang boleh menghancurkan perjalanan badan induk bola sepak Selangor itu.

"Libatkan diri lebih banyak dan cintailah bola sepak. Di JDT saya ada kuasa mutlak dan sentiasa terlibat dalam semua perkara yang berlaku dalam kelab dan tidak benarkan ada pihak cuba memandai-mandai untuk mengambil kesempatan.

"Dalam kes FAS, saya tahu ada banyak 'jerung' yang cuba ambil kesempatan mendapatkan peruntukan kerajaan negeri. Apa yang saya takut ialah RMS tidak menyedari permainan ini," katanya.

Pada masa sama, Tunku Ismail turut menyifatkan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari sebagai individu terbaik yang mampu memberikan nasihat kepada RMS mengenai bola sepak.

"RMS perlu dapatkan nasihat daripada orang yang betul dan bukannya meraka yang tiba-tiba munculkan diri bila berubah tampuk kepimpinan. Antara yang terbaik saya lihat ialah Menteri Besar Selangor kerana dia sangat mencintai bola sepak dan mempunyai banyak pengalaman," katanya.

Tambahnya, RMS diharap dapat mempelajari sesuatu daripada kemelut yang melanda FAS sekarang dan menjadikannya pengajaran berguna di masa akan datang.

"Saya harap RMS belajar daripada kesilapan yang pernah saya buat di waktu awal dahulu, iaitu menggajikan orang yang salah dalam kelab. Mujurlah saya cepat belajar dan saya harap RMS juga sama seperti itu memandangkan pelantikan orang yang tepat untuk persatuan adalah perkara paling mustahak," ujarnya.