KEMENTERIAN Belia dan Sukan Sabah (KBS) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor kolam renang di Kompleks Sukan Tawau jika ia gagal menyiapkan projek itu mengikut tempoh baharu yang diberikan.    

Menterinya, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata, projek yang dibiayai sepenuhnya Kerajaan Persekutuan dengan nilai RM14 juta itu sebelum ini dijadual siap pada 7 Oktober tahun lepas namun terpaksa dijadualkan semula sehingga penghujung November depan.     

"Kita telah mendapat teguran dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri kerana projek ini lewat dari segi peratusan pencapaian pembinaannya iaitu dua bulan atau 38 peratus kelewatan dari jadual," kata Tawfiq.    

Beliau menyatakan demikian selepas melawat tapak projek itu dan mendengar taklimat oleh wakil Jabatan Kerja Raya, Sudin Hasim di sini hari ini.    

Tawfiq yang juga Adun kawasan Apas berkata, projek kolam renang yang dibina mengikut piawaian Olimpik serta kolam rekreasi keluarga itu mula dilaksana tahun lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.