LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini memutuskan kesemua lapan perlawanan membabitkan Kuantan FA sebelum ini terbatal sepenuhnya.

Ini sekali gus menyaksikan tiga pasukan iaitu Sarawak, Felda United dan PDRM FA kehilangan tiga mata ekoran masing-masing telah mencatat kemenangan ke atas pasukan itu pada aksi terdahulu.

Selain itu, tiga pasukan lagi iaitu UiTM FC, MISC-Mifa dan Pulau Pinang turut ditolak satu mata selepas mencatat keputusan seri ketika bertemu Kuantan FA sebelum ini.

Bagaimanapun, UKM FC pastinya menarik nafas lega dengan keputusan pembatalan perlawanan ini memandangkan pasukan itu merupakan satu-satunya pasukan yang tewas dengan keputusan 0-4 sebelum ini.

"Lembaga Pengarah MFL telah membuat keputusan bagi status kedudukan

Liga Premier Malaysia 2018 yang terkini dengan memutuskan keputusan membabitkan perlawanan Kuantan FA dibatalkan.

"Ini bermakna jaringan gol, jumlah mata dan jumlah perlawanan yang telah berlangsung

membabitkan Kuantan FA tidak akan dikira. Jaringan gol, jumlah mata dan jumlah perlawanan akan dikira sebagai kosong (0).

"Kuantan FA telah bermain dari perlawanan LP1 sehingga LP7. Pasukan yang telah

bertemu Kuantan FA ini adalah pasukan Sarawak, MIFA, UiTM FC, UKM FC, Felda

United FC, Pulau Pinang dan PDRM," tulis satu kenyataan yang dikeluarkan MFL sebentar tadi.

BagaimanapunMFL mengumumkan bagi kesalahan Organisasi Teknikal Pertandingan (OTP), perkara tatatertib termasuk pengumpulan kad kuning dan perintah keluar padang atau kad merah adalah dikekalkan dan berkuatkuasa seperti biasa.

Terdahulu, Kuantan FA diumumkan pasukan pertama digugurkan daripada saingan Liga Malaysia selepas tidak hadir pada perlawanan bertemu PDRM di Stadium Shah Alam.

Keputusan itu menyaksikan Kuantan FA telah dikeluarkan dari senarai jadual perlawanan serta kedudukan liga dan ini bermakna, hanya 11 pasukan sahaja yang akan bertanding sehingga penghujung musim 2018.