PENGGIAT hoki berharap kerajaan negeri dapat membina sebuah padang hoki astroturf di sini bagi mengembalikan kegemilangan sukan itu di bahagian Sibu seperti era 70-an dan 80-an.

Menurut Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Dr Annuar Rapa’ee, perkara itu dinyatakan pada perbincangan beliau bersama penggiat sukan tersebut baru-baru ini.

Katanya, beliau akan mengemukakan perkara berkenaan kepada Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah untuk perbincangan lanjut.

“Saya harap kerajaan negeri dapat meluluskan padang hoki astroturf Sibu  bagi membolehkan pertandingan peringkat bahagian dan negeri diadakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan tertutup hoki lima sebelah Piala Dun N55 Nangka Sibu 2018 di Gelanggang Futsal Kampung Datu Baru, di sini hari ini.

Katanya beliau yakin dengan adanya padang itu kelak, bakat baharu untuk mewakili Sarawak ke peringkat lebih jauh akan dapat dicungkil. - Bernama