PENGENDALI Chelsea, Antonio Conte belum mahu mengalah dalam persaingan merebut slot ke suku akhir Liga Juara-Juara walaupun melepaskan kelebihan apabila seri 1-1 dengan Barcelona pada pusingan pertama kelompok 16 terakhir, awal pagi tadi.

Conte berkata, beliau percaya The Blues boleh melakukan ‘sesuatu yang menakjubkan’ dengan menyingkirkan Barcelona pada aksi timbal balik 14 Mac nanti.

“Kami mesti realistik. Kami bercakap mengenai Barcelona. Mereka menunjukkan malam ini mereka kuat dan pasukan yang menakjubkan.

“Tapi kami menunjukkan bahawa jika kami bersedia untuk bekerja sangat keras di bahagian  pertahanan, dan menjaringkan gol ketika ada peluang, kami boleh melakukan sesuatu yang menakjubkan di Nou Camp," katanya,

Willian memberikan persembahan baik apabila meletakkan kelab itu di depan selepas sejam permainan selain dua kali cubaannya terkena tiang sebelum tamat babak pertama.

Bagaimanapun Barca bangkit daripada kesilapan sangat jarang dilakukan Chelsea ketika Andres Iniesta memintas hantaran Andreas Christensen dan melorongkan kepada Lionel Messi untuk jaringan pertamanya dalam sembilan pertemuan berdepan Chelsea.

Ujar Conte, beliau enggan menyalahkan pemain Denmark yang kurang pengalaman itu kerana melakukan kesilapan.

“Saya rasa ia persembahan yang hebat, persembahan menakjubkan.Kita bercakap mengenai pemain yang baharu berusia 21 tahun. Adalah sesuatu yang hebat dia boleh bermain dengan kematangan seperti ini.

"Saya sangat gembira. Bagi saya dia adalah seorang daripada pemain terbaik malam ini," tambahnya.