WALAUPUN dibarisi ramai muka baru, ia tidak akan menggugat semangat juara bertahan, Thailand untuk mempertahankan ibu segala pingat pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak Bawah 22 Tahun (B-22) Thailand, Worrawoot Srimaka berkata, anak buahnya sangat bersemangat untuk memberikan yang terbaik dalam temasya dwitahunan itu selepas menjalani latihan intensif serta mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan beberapa minggu lepas sebelum berlepas ke Malaysia.

“Kami datang ke sini untuk mempertahankan pingat emas yang kami menangi dua tahun lepas di Singapura dan saya telah melakukan persiapan supaya pemain berada dalam keadaan cergas kerana kami tahu persaingan pada tahun ini adalah lebih sengit.

“Walaupun saya membawa banyak muka baru, saya mempunyai keyakinan penuh ke atas mereka untuk memberikan yang terbaik,” katanya kepada wartawan menerusi  jurubahasa  selepas  ketibaan pasukan tersebut di KLIA, semalam.

Worrawoot yang merupakan sebahagian daripada pemain Skuad Sukan Sea Thailand yang memenangi tiga pingat emas dan satu pingat perak semasa beraksi pada era 90-an berkata, kesemua pasukan  dalam  Kumpulan B akan memberikan saingan hebat kepada Thailand yang mempertahankan pingat emasnya pada Sukan Sea edisi ke-29 ini.   

Thailand  diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam, Indonesia, Kemboja, Timor Leste dan Filipina.

“Kesemua pasukan akan memberikan saingan kepada kami terutamanya Vietnam dan Indonesia yang merupakan antara pesaing pingat emas yang kuat,” kata bekas pemain kebangsaan Thailand yang pernah  bermain untuk Kelantan antara 2005 hingga 2006.

Pada masa yang sama, Worrawoot juga tidak menolak kemungkinan berhadapan tuan rumah Malaysia sama ada di separuh akhir atau final jika kedua-dua pasukan berupaya melepasi halangan dalam pusingan awal.

Skuad B-22 Thailand atau lebih dikenali sebagai Gajah Perang Muda, akan memulakan kempen di Sukan Sea 2017 menentang Indonesia di Shah Alam pada 15 Ogos.

Untuk rekod Thailand memenangi pingat emas bola sepak Sukan Sea sebanyak 15 kali.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEORANG atlet negara yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada Ogos lalu dipercayai adalah antara tiga atlet yang gagal ujian doping.
  • PEMAIN tenis kerusi roda negara, Abu Samah Borhan yakin dapat memecah dominasi Thailand bagi kategori terbuka lelaki dalam Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017).
  • SKUAD olahraga paralimpik menyasarkan 40 pingat emas daripada 133 acara yang dipertandingkan pada Sukan Para Asean ke-9 yang membuka tirainya bermula 17hingga 23 Sept ini.
  • SKUAD angkat berat negara menutup gelanggang temasya Sukan Sea ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) hari ini dengan menghadiahkan pingat perak melalui kategori 85 kilogram (kg) oleh Mohamad Fazrul Azrie Mohdad.
  • LEONG Mun Yee-Traisy Vivien Tukiet tambah emas ke-12 buat skuad terjun negara menerusi acara 10 meter platform Seirama Wanita Sukan SEA kali ke-29 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.