KUALA TERENGGANU - Terengganu Football Club (TFC) tampil menafikan tular bas penyokong TFC dibakar penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Larkin selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia yang menyaksikan kelab pantai timur itu menyingkirkan JDT dengan agregat 3-2.

"Berkenaan penyebaran berita berkenaan bas TFC dibakar dan terdapat provokasi melampau penyokong tuan rumah, kami ingin memaklumkan bahawa ianya adalah berita palsu yang disebarkan hanya untuk memburukkan hubungan antara dua pasukan.

"Diharapkan pihak yang tidak bertanggungjawab ini berhenti menyebarkan berita palsu ini kerana untuk makluman pihak pengurusan Johor Darul Ta'zim serta petugas menyambut baik pasukan dan penyokong Terengganu sepanjang kami berada Johor.

"Kami juga ingin ucapkan terima kasih atas kerjasamabaik pengurusan Johor Darul Takzim dan pegawai keselamatan yang menjaga pasukan dan penyokong Terengganu denganbaik sepanjang kami berada di stadium,"  kata kenyataan dipetik dari laman Facebook Rasmi TFC hari ini.

Pada masa sama TFC turut meminta penyokong bola sepak yang lebih profesional dan bertanggungjawab dalam menyebarkan sebarang berita.