PASUKAN Terengganu FC (TFC) II berjaya mengesahkan slot pentas final Kejohanan 4 Penjuru, Piala YAB Menteri Besar Terengganu selepas mengetepikan cabaran Melaka United 4-3 pada aksi terakhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.

Turun selaku pasukan pelawat, kem TFC II bermula cemerlang apabila terlebih dahulu di depan menerusi jaringan pembukaan Muhammad Aliff Fitri Jefri seawal minit ke empat perlawanan selepas bijak menanduk masuk sepakan penjuru Muhammad Fakhrurazi Musa.

Belum sempat kem tuan rumah mengatur gerakan, skuad kendalian Mutaffa Kamal Abd Wahab itu berjaya mengukuhkan kedudukan menerusi jaringan Akanni Sunday pada minit ke-12 untuk gol kedua TFC II.

Dua jaringan itu bagaimanapun tidak melemahkan pasukan Melaka United apabila bangkit mengatur serangan dan R Gopinathan hampir merapatkan jurang kedudukan pada minit ke-22 bagaimanapun dua percubaannya digagalkan kapten pasukan TFC II, Hasbullah Awang.

Peluang kem tuan rumah dalam membuka jaringan sekali lagi hadir pada minit ke-38, namun kekalutan di depan gawang pelawat gagal dimanfaatkan jentera serangan Melaka United setelah Mohd Suhaimi Husin bertindak cemerlang memastikan gawang TFC II tidak mudah dibolosi.

Sebaliknya, kem pelawat terus melebarkan jaringan menerusi rembatan kencang, Sebastian Maurice dari luar kotak penalti untuk gol ketiga TFC II.

Bersambung babak kedua, kem tuan rumah memperkemaskan rentak permainan dan berjaya membuka jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan dengan kemas, Tiago Filipe Firgueiras Gomes pada minit ke-46.

Skuad kendalian Eduardo Almeida kembali bersemangat dengan sesekali melakukan asakan ke gawang pelawat akhirnya merapatkan jurang kedudukan apabila R Surendran meledakkan gol kedua buat Melaka United pada minit ke-58.

Tujuh minit selepas itu kem tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan apabila Yahor Zubovich bijak menewaskan penjaga gawang pelawat untuk meledakkan gol ketiga Melaka United sekaligus menghidupkan peluang untuk memburu pentas final.

Begitupun, kem pelawat kembali di depan pada minit 68 menerusi jaringan cantik, Mohamad Ridzuan Mohd Razali selepas bijak merembat masuk bola yang ditepis penjaga gawang Melaka United.

Tuan yang rumah mencari jaringan penyamaan di penghujung perlawanan bagaimanapun terpaksa akur dengan kekalahan itu apabila kem TFC II terus mempertahankan kemenangan mereka untuk bertemu pasukan ‘abang’ TFC I pada aksi pentas final sehingga tamat perlawanan.