[ DIKEMASKINI ] TERENGGANU FC II (TFC II) muncul juara edisi sulung Piala Cabaran 2018 selepas menewaskan UKM FC, 4-2 (agregat) dalam perlawanan akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.

Kejayaan skuad itu sekali gus berjaya mengubati duka mereka selepas tersingkir ke Liga FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) musim depan apabila menghuni tangga tercorot Liga Perdana musim ini.

 TFC II bermula garang dan melakukan percubaan menarik melalui percubaan Bruno Suzuki seawal minit ketiga tetapi tidak berjaya.

Skuad kendalian Sulaiman Hussin turut membalas asakan dan berpeluang membuka tirai jaringan menerusi rembatan Mohd Irwan Syazmin Wahab dari luar kotak penalti pada minit keempat dan seminit kemudian melalui tolakan Sein Nam, namun kedua-dua cubaan tersebut gagal menerjah ke jaring gol.

Pasukan tuan rumah akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-21 apabila Akanni Sunday Wasiu yang tidak dikawal bijak menanduk masuk hasil hantaran Andrew Anderson.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Tengku Hazman Raja Hassan menambah asakan dan menambah jaringan kedua menerusi Wasiu apabila merembat kencang dalam kotak penalti pada minit ke-53 dan kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan.

Dengan kemenangan itu,  skuad TFC II menerima hadiah RM250,000 manakala UKM FC sekadar berpuas hati membawa pulang RM75,000.

Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah. - Bernama