IPOH – Meskipun Terengganu masih kekal sebagai pendahulu dalam pungutan pingat temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-19, kedudukan itu belum selamat apabila diikuti rapat Wilayah Persekutuan.

Berbaki sehari sebelum berakhir Sukma kali ini, Terengganu di kedudukan teratas dengan kutipan 53 pingat emas, 48 perak dan 51 gangsa manakala Wilayah Persekutuan di tempat kedua dengan 50 emas, 38 perak dan 50 gangsa.

Selangor yang berada di kedudukan ketiga dengan 45 pingat emas, 66 perak dan 66 gangsa, gagal mempertahankan kejuaraan yang diraih pada edisi 2016 di Sarawak.

Pemburuan pingat emas pada hari terakhir esok, menawarkan 11 pingat emas dengan acara berbasikal  (lapan pingat emas), bola jaring (satu pingat emas) serta masing-masing satu emas dalam acara skuasy berpasukan lelaki dan wanita.

Empat acara final berbasikal hari ini, terpaksa ditunda kepada esok dan kemungkinan beberapa acara tidak akan dipertandingkan berikutan keadaan cuaca tidak menentu di sini, namun ia bergantung kepada keputusan penganjur yang akan dimaklumkan esok.

Kedudukan pingat Sukma Perak 2018

Pada saingan hari ini, atlet tenpin boling, Abang Afiq Yazid Abang Azman dari Sarawak dan perenang Wilayah Persekutuan, Keith Lim menjadi tumpuan berikutan prestasi cemerlang kedua-dua atlet itu dengan kutipan pingat emas terbanyak pada penampilan di Sukma kali ini.

Abang Afiq, 19, melengkapkan kutipan emas kelima peribadinya menerusi acara Master dan sebelum ini turut cemerlang dalam acara beregu lelaki, trio lelaki, lima berpasukan lelaki dan beregu campuran.

Keith pula menamatkan saingan di kolam renang dengan satu pingat emas dalam acara 50 meter (m) gaya bebas lelaki, termasuk memecahkan rekod temasya sebanyak dua kali, pada peringkat saringan di sebelah pagi dan final malam tadi.

Beliau kini memegang rekod Sukma dengan catatan masa 23.19 saat bagi acara 50 meter gaya bebas lelaki.

Pelajar di University College Sedaya International (UCSI) itu sebelum ini meraih pingat emas acara 100m gaya bebas, 4x100m rampaian dan 4x200m rampaian. - Bernama