PASUKAN Terengganu terlepas peluang untuk merangkul gelaran juara Piala Presiden musim ini apabila tewas dengan agregat 2-1 ke atas Selangor apabila sekadar meraih kemenangan 1-0 pada aksi final kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Beraksi di gelanggang sendiri, Terengganu dilihat memiliki tonik luar biasa apabila melancarkan serangan bertali arus ke kubu pertahanan pelawat dan hampir membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi hantaran lintang Mohammad Rahmat Makasuf tetapi gagal disudahkan dengan kemas Muhd Aliff Fitri Jefri.

Percubaan awal itu jelas menyuntik semangat skuad kendalian Musatafa Kamal Abd Wahab dalam merapatkan jurang defisit dua gol dimiliki Selangor apabila gawang pelawat sekali lagi diuji dua minit selepas itu, namun tandukan Mohammad Rahmat gagal menepati sasaran.

Pelawat yang sesekali melakukan serangan turut berpeluang menambah jaringan pada minit ke-17 tetapi penjaga gawang Terengganu, Mohamad Shafawi Mohamad bertindak cemerlang menafikan percubaan tepat Mohd Faizuddin Mohd Abidin.

Terengganu yang terus mempamerkan aksi lebih agresif akhirnya berjaya menamatkan kebuntuan gol pada minit ke-24 menerusi sepakan percuma Mohd Haidhir Suhaini sekaligus menewaskan Muhammad Haziq Ridwan.

Peluang terbaik tuan rumah untuk menyamakan kedudukan agregat hadir pada minit ke-33 namun Mohd Haidhir gagal melakukan penyudah yang baik hasil umpanan Muhd Firas Mohd Tarmizi ketika berdepan situasi satu lawan satu bersama penjaga gol Selangor.

Bersambung babak kedua, masing-masing memperkemaskan rentak permainan dengan melancarkan asakan ke gawang gol bagaimanapun gagal menambah jaringan.

Perlawanan terhenti seketika pada minit ke-61 apabila pengadil perlawanan Muhamad Almi Abdullah tersilap melayankan kad merah kepada pemain Selangor, Muhd Amirul Ashraf Ariffin yang disangka mengutip kad kuning kedua sehingga mencetuskan kekeliruan buat kedua-dua pasukan.

Situasi itu bagaimanapun tidak melunturkan semangat kem tuan rumah apabila bangkit melakukan serangan ke kubu pertahanan pelawat dan pemain gantian, Wan Mohd Fazli Wan Ghazali hampir menambah jaringan pada minit ke-78, namun rembatan dari luar kotak penalti sekadar melepasi palang gol.

Bagaimanapun usaha tuan rumah dalam menyamakan kedudukan agregat tidak kesampaian apabila pasukan pelawat berjaya mempertahankan kelebihan defisit dua gol dimiliki di gelangang sendiri untuk muncul juara Piala Presiden musim ini.