PASUKAN Terengganu berjaya mengekalkan rentak kemenangan apabila mudah membelasah Perlis, 4-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Kejayaan itu juga memperlihatkan skuad Penyu berjaya melangkah dua anak tangga dikedudukan kedua apabila Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) II di tangga keempat, manakala Kuala Lumpur kekal mengemudi carta liga setelah meraih kemenangan ke atas Kuantan FA pada aksi perlawanan yang sama.

Permulaan perlawanan kedua-dua pasukan mempamerkan rentak seimbang apabila masing-masing berbalas serangan dalam mencari jaringan awal, namun beberapa peluang menarik di depan gawang gol gagal menemui penyudah yang berkesan.

Usaha tuan rumah dalam menamatkan kebuntuan gol akhirnya tertunai apabila Gabriel Dos Santos berjaya menanduk masuk sepakan percuma yang dilakukan dengan kemas Mohd Faiz Mohd Nasir pada minit ke-26 sekaligus membawa Terengganu di depan.

Jaringan itu nyata menyuntik semangat skuad kendalian Bakti Abu Salim itu dalam mengukuhkan kedudukan dan Kipre Tchetche hampir meledakkan gol kedua buat Terengganu, tetapi rembatannya mudah dibaca penjaga gawang Perlis, Mohd Jibrail Kamaron Baharin pada minit ke-33.

Dua minit berselang, Kipre Tchetche sekali lagi berpeluang untuk membuktikan kemampuannya selaku tonggak utama serangan Terengganu, namun gagal menyudahkan hantaran silang K Partiban untuk menamatkan penantian jaringan peribadinya.

Pelawat yang sesekali melakukan serangan ke gawang gol tuan rumah, nyaris menemui jaringan penyamaan pada minit ke-40, namun tandukan Maksimillian Formin gagal menepati sasaran.

Sebaliknya Kipre Tchetche berjaya menemui rentak jaringan apabila meledakan gol kedua buat kem tuan rumah pada minit ke-42 hasil hantaran Issey Nakajima sekaligus membawa perlawanan ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, memperlihatkan kem tuan rumah terus memperkemaskan rentak permainan dan kapten pasukan, Lazaro Vinicius berjaya melebarkan jaringan skuad Penyu dengan meledakan gol ketiga pada minit ke-48 selepas bijak memanfaatkan kekalutan di depan gawang Perlis.

Pasukan tuan rumah dilihat terus bernafsu dalam menambah koleksi dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu pertahanan Perlis, namun Gabriel Dos Santos gagal memanfaatkan dua peluang keemasan untuk mencipta hatrik jaringan pada minit 63 dan 67.

Begitupun pemain gantian, Mohd Ridzuan Abdunloh Pula berjaya menambah derita kem pelawat apabila menjaringkan gol keempat Terengganu pada minit ke-79 hasil hantaran seorang lagi pemain gantian, Mohd Shahrin Sapien.

Pelawat yang cuba bangkit dipenghujung perlawanan untuk mencari jaringan saguhati akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan itu apabila pasukan Terengganu terus menggenggam tiga mata berharga di hadapan lebih 3,000 penyokong sendiri sehingga tamat perlawanan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.