PASUKAN bolasepak bawah 18 tahun Terengganu berjaya membuktikan penguasaan mereka apabila dinobatkan selaku juara Kejohanan Bolasepak Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM) 2017 yang berlangsung di Kuantan, Pahang.

Pada aksi pentas final skuad kendalian, Zaizamroh Yusof itu sekali lagi menafikan hajat pasukan Kelantan  menerusi jaringan tunggal Muhammad Zulfikri Muhammad hasil hantaran cantik, Arif Shakirin Suhaimi pada minit untuk muncul juara kejohanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Kemenangan itu sekaligus menamatkan penantian Terengganu untuk kembali mengekalkan kejuaraan yang kali terakhir dimenangi tiga tahun berturut-turut sejak 2011 sehingga 2013.

Pengendalinya, Zaizamroh mengakui cukup gembira dengan kemenangan itu sekaligus mengubat kekecewaan musim lalu apabila tewas pada pentas final musim lalu.

Menurutnya, kejayaan itu juga adalah hasil komitmen daripada kesemua pemain dan kejurulatihan pasukan yang sebelum ini sentiasa bekerja keras dalam mempersiapkan pasukan sebelum kejohanan berlangsung.

“Malah saya juga cukup bertuah kerana memiliki barisan pemain yang berkualiti sekaligus tidak berdepan sebarang masalah untuk menurunkan mana-mana pemain dalam kejohanan yang berlangsung hampir seminggu di sini.

“Apa pun saya harap kejayaan ini akan memberi suntikan semangat buat pasukan untuk terus berusaha dalam mengekalkan status juara pada kejohanan musim depan,” katanya.

Selain itu, Zaizamroh turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) menerusi  Akademi Pembangunan Bolasepak Negeri (NFDP) Terengganu  yang banyak membantu dalam memantapkan lagi pasukan musim ini.

Pada kejohanan itu, tiga pemain Terengganu turut diiktiraf sebagai pemain terbaik menerusi Muhammad Arif Shakirin Suhaimi, manakala penyerang pasukan, Muhammad Zulfikri Muhamad dinobatkan selaku penjaring terbanyak  dan Syed Muhammad Irfan Syafiq Syed Mohd Kamil, penjaga gol terbaik apabila hanya melepaskan satu jaringan sepanjang pertanding berlangsung.  

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.