GARA-GARA menekan brek pelumba lain ketika pelumbaan Moto2 di GP San Marino, nasib Romano Fenati bagaikan jatuh ditimpa tangga.

Beliau bukan hanya digantung dua perlawanan oleh MotoGP, bahkan beliau turut disingkir pasukannya Marinelli Snipers dalam baki saingan Moto2 musim ini.

Tidak cukup dengan itu, pasukan baharu yang bakal diwakilinya musim depan iaitu MV Agusta turut mengambil pendekatan sama dengan membatalkan kontrak pelumba kelahiran Itali itu berkuatkuasa serta-merta.

Menurut satu kenyataan rasmi MV Augusta, keputusan itu dibuat kerana memandang serius insiden itu yang dianggap tidak profesional dan membahayakan nyawa pelumba lain.

"MV Augusta tidak akan diwakili Fenati untuk saingan Moto2 pada tahun 2019. Kesepakatan yang terjalin di antara MV Agusta Reparto Corse Forward Racing Team dan Romano Fenati telah dibatalkan.

"Ini kerana kami menganggap insiden itu mungkin akan memberi impak negatif kepada pasukan pada masa akan datang," tulis kenyataan itu.

Sehubungan dengan itu, Fenati secara peribadi telah tampil memohon maaf dan meluahkan kekesalan di atas perilaku buruknya itu.

"Saya meminta maaf kepada semua yang terkesan terhadap insiden ini. Kalau boleh, saya juga berharap kejadian itu sebagai satu mimpi buruk. Bila mengingati detik-detik itu, saya sangat malu dan saya tahu saya bukanlah seorang lelaki sejati.

"Saya menyesal kerana saya tidak sepatutnya memberi reaksi keterlaluan terhadap insiden yang berlaku sebelum itu. Itu bukan peribadi sebenar saya.

"Dalam karier saya, saya selalu menjadi  pelumba yang baik dan musim lalu saya tidak dikenakan walau satu penalti pun. Saya sedikit pun tidak berniat mencederakan pelumba lain seperti yang anda lihat hujung minggu lalu, cuma mungkin situasi pada waktu itu agak bercelaru untuk saya.

"Saya tahu kesilapan itu tidak dimaafkan semua, tetap saya belum mahu meninggalkan arena sukan ini. Saya hanya mahu meminta maaf kepada semua dan saya akan jadikan masa yang panjang ini untuk merenung kembali semua kesilapan saya agar dapat menjadi pelumba yang lebih baik di masa akan datang," katanya.