PASUKAN Terengganu City FC (TCFC) berjaya mengesahkan slot ke pusingan seterusnya selepas melakarkan kemenangan 2-1 ketika turun melayan kunjunan Jerantut FA dalam aksi pusingan pertama saingan Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Beraksi di gelanggang sendiri menyaksikan kem tuan rumah terlebih dahulu mencemaskan gawang pelawat menerusi sepakan penjuru yang dilakukan dengan kemas Mohd Dzaiddin Ibrahim pada minit ke-14 bagaimanapun tandukan Jasmir Mehat gagal menemui jaring gol.

Empat minit selepas itu, Jasmir Mihat sekali lagi hampir meledakkan jaringan pembukaan buat kem TCFC hasil lorongan kemas Mohd Fadzli Hadi Yusof di depan gawang gol namun rembatan sekadar menggegarkan tiang gol.

Dua percubaan itu nyata menyuntik semangat skuad kendalian Mohd Noor Mohd Derus apabila bangkit memperkemaskan rentak permainan dengan mencipta beberapa peluang terhindang menerusi Mohd Rahizi Mohd Rasib (m22), Jasmir Mehat (m23), Mohd Dzaiddin Ibrahim tetapi gagal melepasi gawang gol.

Pelawat yang sesekali mengatur gerakan turut berpeluang menamatkan kebuntuan gol menerusi percubaan Mohd Amirul Ahmad Nazri (m37) dan Muhd Sallehuddin Abd Jalil (m38) bagaimanapun penjaga gawang TCFC terlebih dahulu bertindak cemerlang menafikan hajat kem Jerantut FA.

Bersambung babak kedua, masing-masing memperkemaskan rentak permainan bagaimanapun skuad kendalian Ahmad Nazri Mat Noor berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-64 menerusi rembatan kemas Mohd Arfiyahsah Abdul Jaafar untuk membawa Jerantut FA di depan.

Begitupun keceriaan kem pelawat tidak kekal lama apabila Mohd Rahizi Mohd Rasib bangkit menjaringkan gol penyamaan empat minit selepas itu menjadikan kedudukan 1-1.

Berbaki lima minit sebelum tamat perlawanan, Mohd Rahizi Mohd Rasib sekali lagi membuktikan kemampuannya apabila berjaya melebarkan jaringan tuan rumah untuk gol kedua peribadinya sekaligus membawa skuad TCFC mara ke pusingan seterusnya.

Turut mara ke pusingan seterusnya, satu lagi wakil dari Terengganu, Hanelang FC selepas mengetepikan cabaran Invictus FC dengan kemenangan 3-0 di Stadium Matshushita, Shah Alam petang tadi.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENGENDALI Kelab Shahzan Muda, Tajudin Nor berkata, kemenangan ke atas Selangor PIB FC 3-0 pada pusingan pertama Piala FA kelmarin sebagai suntikan semangat bagi pasukannya untuk terus mencatat kemenangan pada perlawanan seterusnya.
  • PENGURUS West Bromwich Albion, Alan Pardew tetap tidak berpuas hati dengan perjalanan perlawanan di Anfield walaupun kelabnya berjaya mencatat kemenangan 3-2 ke atas Liverpool pada aksi Pusingan Keempat Piala FA.
  • LIVERPOOL seharusnya menyalahkan diri sendiri selepas disingkirkan West Bromwich Albion 3-2 di Anfield dalam saingan Piala FA.
  • PASUKAN Kedah diraikan pada Majlis Santapan Malam meraikan kejayaan muncul Juara Piala FA 2017 pada Sabtu lalu di Istana Anak Bukit, Alor Setar, malam tadi.