JUARA Liga FAM, Terengganu City FC (TCFC) kini boleh menarik nafas lega apabila tidak perlu menarik diri daripada saingan Liga Premier musim depan.

Ini berikutan, pasukan yang dibelenggu masalah kewangan itu kembali bernyawa selepas beberapa penaja sudah menyatakan kesudian untuk menaja kelab yang bertapak di Terengganu itu beraksi di saingan yang lebih kompetitif.

Menurut laman Facebook rasmi kelab, terdapat lapan syarikat telah bersetuju memberikan tajaan dalam pelbagai bentuk.

"TCFC berbesar hati mengumumkan penajaan daripada beberapa buah syarikat untuk bersaing dalam Liga Premier 2019 musim depan.

"Penajaan ini merangkumi wang tunai, penginapan dan makan pasukan, bas, dan juga kelengkapan jersi pemain dan pegawai kelab.

"Antara syarikat-syarikat yang telah bersetuju menaja TCFC musim depan ialah Rimbaco Sdn Bhd (RM1 juta), Teguh Harian Sdn Bhd (RM1 juta), Takdir Idaman Sdn Bhd (RM1 juta), Wira Syukur Sdn Bhd (RM1 juta), Tulangis Group (RM2 juta), Kaki Jersi (Jersi rasmi kelab), Derakventure Enterprise (penginapan pasukan) dan CKJ Engineering & Services (makan)," kata kenyataan tersebut.

Jelas TCFC lagi, satu sidang media akan diadakan pada 22 September depan bertempat di Primula Hotel untuk memperkenalkan secara rasmi barisan penaja kelab yang digelar The Sharks itu musim hadapan.