KEPUTUSAN pengendali Kelantan, Zahasmi Ismail menyambung cuti sedikit pun tidak menggusarkan pasukan itu untuk menghadapi Melaka United pada aksi terakhir Liga Super, pada 28 Oktober ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, ketiadaan jurulatih berusia 50 tahun itu tidak menjejaskan persiapan pasukannya dalam menghadapi misi hidup mati untuk kekal dalam kempen Liga Super musim depan.

Menurutnya, beliau yakin sentuhan penolong jurulatih, Sathit Bensoh yang diberi mandat membimbing pasukan itu mampu mencorakkan perubahan taktikal untuk berdepan skuad Eduardo Almeida itu.

“Dari segi urusan mengendalikan pasukan, saya percaya perubahan ini tak perlu menjadi isu besar setelah Sathit mengambil alih (melatih pasukan) dan melakukan taktikal mengikut acuannya sendiri.

“Cuma harapan saya sekiranya terjadi apa-apa keputusan negatif (tewas kepada Melaka United) nanti, kita kena terima dengan hati terbuka memandangkan kedudukan Kelantan berada di hujung tanduk, sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis makan tengah hari bersama pengamal media Kelantan di salah sebuah hotel di Kota Bharu, hari ini.

Badan induk bola sepak negeri itu membenarkan Zahasmi menyambung percutian sebaik tempoh seminggu cutinya, berakhir semalam, sekali gus menyaksikan Sathit menggalas tugas bagi menyelamatkan skuad pantai timur daripada terjerumus ke kancah Liga Perdana, musim depan.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • STATUS Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail mencetuskan tanda tanya apabila dia sebenarnya diarahkan berehat dan bukannya bercuti selama seminggu sebagaimana disahkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), kelmarin.
  • ZAHASMI Ismail jelas kecewa apabila Kelantan gagal melaksanakan misi wajib menang setelah sekadar terikat seri tanpa jaringan dengan PKNS FC pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam kelmarin.
  • TIADA kata dapat diluahkan Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail selepas pasukan kendaliannya tewas 3-0 kepada juara Liga Super 2017, Johor Darul Ta'zim (JDT) di gelanggang lawan, malam tadi.
  • JURULATIH Kelantan, Zahasmi Ismail menerima penyingkiran pasukannya dalam kempen Piala Malaysia musim ini dengan hati terbuka selepas tewas 0-2 kepada Kedah pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Alor Setar, malam kelmarin, lapor MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD.