GEORGETOWN- Ruang riadah di bangunan Parlimen  akan ditambah baik bagi memupuk budaya sihat dalam kalangan anggota parlimen, khususnya  ketika dewan bersidang.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata setakat ini ruang itu boleh dimanfaatkan untuk sukan pingpong.

“Kita akan tambah ruang untuk lain-lain sukan," katanya kepada pemberita selepas menamatkan perlawanan pertama pingpong kategori perseorangan lelaki peringkat umur 50-an Sukan Masters Asia Pasifik (APMG) Pulau Pinang 2018, di sini hari ini.

Katanya beliau berharap penambahbaikan ruang sukan berkenaan akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh wakil rakyat di bawah kerajaan baharu sekarang.

“Kita mahu wakil rakyat kita sihat-sihat belaka,” katanya.

Mengulas mengenai APMG, Mohd Rashid berkata temasya itu memberi peluang kepada bekas atlet dan peserta lain sepertinya untuk menunjukkan kemahiran yang pernah mereka kuasai pada satu ketika dahulu.

"Seperti saya sendiri, perlawanan hari ini memang menggamit kenangan ketika muda-muda dahulu. Sewaktu saya sekolah rendah, saya atlet pingpong dan aktif dalam sukan-sukan yang lain. Saya tidak handal dalam semua sukan tetapi saya main semuanya," katanya.

Pada perlawanan hari ini, Mohd Rashid tewas di tangan Setiausaha Persatuan Ping Pong Pulau Pinang Oon Tik Keong dengan catatan 2-3.

Selain pingpong, timbalan speaker itu turut menyertai acara bola sepak  dan pasukannya akan  menentang pasukan dari Ukraine esok.- Bernama