TONGGAK pertahanan Kelantan, Mohamad Azwan Aripin menaruh harapan tinggi pasukannya mampu melayakkan diri ke suku akhir kempen Piala Malaysia musim ini.

Mohamad Azwan berkata, peluang The Red Warriors (TRW) tetap ada walaupun berdepan laluan berliku kerana perlu mengalahkan Kedah dengan jaringan lebih besar dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, 16 September ini.

“Walaupun nampak tipis namun saya percaya Kelantan masih berpeluang ke suku akhir. Secara peribadi, saya tidak rela pasukan tewas kepada Kedah dan sudah tentu kita kena memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri dalam pertemuan ini.

“Tambahan pula rekod Kelantan dalam lima hingga enam terakhir boleh dikatakan agak baik, ada menang ada kalah dan atas faktor ini saya optimis pasukan boleh ke suku akhir,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Pertahanan kidal berusia 22 tahun itu memberitahu, dia semakin bersemangat untuk membantu TRW setelah diturunkan sebagai pemain gantian ketika bertemu Mifa, baru-baru ini.  

Menurutnya, sebelum ini dia tersisih dalam dua dua perlawanan penting menentang Johor Darul Ta’zim akibat kecederaan ketika bertemu Mifa di gelanggang lawan dalam pusingan pertama.

“Kecederaan lutut pulih sepenuhnya dan saya harap jurulatih (Yusri Che Lah) dapat beri peluang kepada saya beraksi apabila berdepan Kedah di Kota Bharu, minggu depan,” katanya.