KONTINJEN negara dilihat mampu meraih lebih daripada sasaran 111 pingat emas berdasarkan prestasi semasa atlet di pentas antarabangsa untuk muncul juara keseluruhan Sukan Sea ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Bekas ketua pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad berkata, sasaran diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kelmarin, adalah realistik.

“Hendak meletakkan sasaran bukan perkara mudah, perlu berhati-hati dan kena yakin. Ini kerana kita tidak mahu ia menghantui kita jika tidak capai sasaran itu.

“Saya yakin dan percaya sasaran yang diumumkan adalah munasabah. Kita harap kontinjen negara akan mencapainya dan yakin lebih dari 111 pingat emas,” katanya, semalam.

Mazlan, yang juga bekas ketua kontinjen Sukan Sea 2001 di Kuala Lumpur berkata, seperti kontinjen negara ketika itu mencipta sejarah dengan jumlah 111 pingat emas, berbanding 82 pingat emas yang diletakkan sebagai sasaran pingat sebelum temasya sukan itu berlangsung.

“Tahun ini juga, jumlah sukan adalah lebih banyak daripada 2001. Sudah tentulah peluang untuk melebihi daripada 111 pingat emas itu memang ada,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai disiplin atlet, Mazlan berkata, ia terpulang kepada pengurus pasukan untuk menangani isu berkenaan kerana ia melibatkan persediaan skuad negara yang dilakukan lebih awal.

“Setiap kali kita hadapi temasya yang libatkan ramai atlet dari pelbagai sukan, macam-macam karenah perlu dihadapi kerana setiap atlet mempunyai latar belakang dan pengalaman yang berbeza.

“Terpulang kepada pegawai pasukan masing-masing untuk atasi masalah ini kerana kita sudah ada ramai pakar motivasi dan psikologi,” katanya.

Temasya Sukan Sea ke-29 akan berlangsung secara rasmi pada 19 hingga 30 Ogos, dengan acara bola sepak dan bola jaring bermula Isnin ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SKUAD wanita negara sekadar meraih satu kemenangan dan dua tewas dalam acara ragbi 7 sebelah yang berlangsung di Stadium MBPJ Kelana Jaya hari ini.
  • PEMENANG emas Sukan Olimpik Rio 2016, Joseph Schooling memohon maaf atas kenyataannya ‘mengajar Malaysia satu atau dua perkara’ menjelang temasya Sukan Sea Kuala Lumpur (KL2017) sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini, malam ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.