KETUA jurulatih Felda United, B.  Sathianathan tidak mahu meletakkan harapan tinggi bagi aksi ketiga Piala AFC Kumpulan G menentang Ceres Negros di Stadium Pana-ad Bacalod City, Filipina, esok.

Beliau berkata pasukannya sedang melalui saat-saat getir ketika ini.

Harapan besar diletakkan pada permulaan musim kerana Felda United merupakan naib juara Liga Super musim lalu dan perlu menjadi pasukan yang lebih baik untuk musim ini.

"Saya baru mengambil alih jawatan jurulatih dan pasukan ini juga merupakan pasukan yang baru dibentuk, di mana semua pemain import dan tempatan masih lagi mencari keserasian.   

“Keputusan seri pada perlawanan esok adalah bonus untuk kami dan seperti saya katakan, ini adalah kali pertama Felda United menyertai kejohanan ini dan saya berharap semua pemain dapat mempelajari sesuatu," katanya melalui klip video sidang media pra-perlawanan di Filipina yang dihantar kepada Bernama hari ini.

Namun menurut Sathianathan, itu semua bukanlah alasan dan mereka menghormati pasukan tuan rumah kerana corak permainan pasukan itu yang tersusun dan strategi taktikal yang berkesan.

"Sasaran utama saya tetap ingin mencuri satu mata di sini dan jika berjaya ia merupakan kejayaan buat kami," katanya.

Untuk rekod, Felda United tewas 1-2 kepada kelab Singapura, Tampines Rovers dan seri 1-1 dengan Hanoi FC di Shah Alam dalam dua perlawanan terdahulu Kumpulan G dan mengumpul satu mata di kedudukan tercorot kumpulan itu.

Ceres Negros pula masih mengekalkan rekod tanpa kalah dan mendahului kumpulan berkenaan dengan empat mata selepas menang sekali dan seri sekali. - Bernama
 

$content.code.value
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.