PASUKAN berstatus kelab T-Team berjaya menemui rentak kemenangan apabila meraih kemenangan bergaya 5-0 ketika turun melayan kunjungan Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah,  sebentar tadi.

Kejayaan itu sekaligus mengembirakan penyokong skuad The Titans yang sebelum ini menyaksikan T-Team terpaksa bergelut untuk mencari kemenangan selepas kali terakhir mengutip mata penuh ketika bertemu Pulau Pinang Februari lalu.

Kedua-dua pasukan bermula garang dengan melancarkan serangan ke gawang masing-masing, bagaimanapun kem pelawat dilihat terlebih dahulu mencemaskan pintu gol tuan rumah menerusi dua sepakan penjuru (minit 4, 6) namun berjaya dipatahkan benteng pertahanan T-Team.

T-Team yang mula mengatur serangan balas tidak menunggu lama apabila Dilshod Sharofetdino berjaya meledakkan gol pembukaan tuan rumah pada minit kesembilan hasil hantaran lintang Mahamdou Samassa.

Jaringan itu jelas menyuntik semangat skuad kendalian Rahmad Darmawan dalam mengukuhkan kedudukan dan benteng pertahan tuan rumah, Abdoulaye Youssouf Maiga nyaris menjaringakan gol kedua pada minit ke-17 menerusi sepakan penjuru Mohd Nor Hakim Hassan, namun tandukkannya sedikit tersasar.

Pelawat yang sesekali melakukan serangan turut berpeluan untuk menjaringkan gol penyamaan menerusi percubaan jarak jauh Sandro Da Silva pada minit ke-21 tetapi mudah dibaca Mohd Hafidz Romly.

Usaha kem Henalang Merah dalam mencari jaringan penyamaan akhirnya mengundang padah apabila pengadil perlawanan Sureh Jayaraman melayankan kad merah kepada Mohd Rizal Mohd Ghazali kerana mengasari pemain tuan rumah, Mohd Fakhrurazi Musa pada minit ke-30.

Kesempatan itu berjaya dimanfaatkan pemain tuan rumah apabila Mohd Nor Hakim Hassan berjaya mengukuhkan kedudukan untuk gol kedua T-Team pada minit ke-37 hasil hantaran lintang Mohamad Kamal Azizi dari sebelah kanan gawang gol Kedah.

Tertekan dengan jaringan itu, kem pelawat mula mengatur serangan, namun percubaan Mohd Syazwan Zainon di depan gawang gol T-Team sekadar melambung tinggi pada minit ke-42 dan Mohd Hafidz Romly turut cemerlang menafikan hasrat Sandro Da Silva untuk merapatkan jurang kedudukan masa tambahan.

Sebaliknya kem tuan rumah berjaya melebarkan jaringan menerusi Mahamadou Samassa penghujung masa tambahan untuk gol ketiga T-Team sekaligus membawa perlawanan ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, menyaksikan kedua-dua pasukan memperkemaskan rentak permainan dan pelawat memiliki dua peluang untuk merapatkan jurang kedudukan namun percubaan Badrol Bakhtiar (minit 52) dan Mohd Syazwan Zainon (minit 54) gagal menemui pintu gol.

Kem tuan rumah terus melebarkan jaringan menerusi rembatan kemas Mohd Nor Hakim Hassan pada minit ke-59 untuk gol keempat T-Team.

Lima minit berselang Mohd Nor Hakim sekali lagi menceriakan kem tuan rumah apabila mudah menewaskan pengaja gawang Kedah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim untuk hatrik jaringan peribadinya dan gol kelima T-Team.

Pelawat yang cuba mencari jaringan saguhati bagaimanapun terpaksa akur dengan kekalahan itu apabila kem tuan rumah terus mengenggam tiga mata berharga di hadapan penyokong sendiri sehingga tamat perlawanan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PASUKAN berstatus kelab T-Team gagal memanfaatkan kelebihan beraksi digelanggang sendiri apabila diaibkan dengan kekalahan 1-5 ketika turun melayan kunjungan Melaka United pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
  • PASUKAN berstatus kelab T-Team berjaya mencipta kebangkitan apabila meraih kemenangan 4-1 ke atas Negeri Sembilan dalam saingan Kumpulan A, kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.
  • KESILAPAN mudah yang dilakukan pemain T-Team menjadi punca kekalahan teruk pasukan di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi, akui ketua jurulatih Rahmad Darmawan.
  • PASUKAN berstatus kelab T-Team terus dirundum malang apabila diaibkan dengan kekalahan 6-1 ketika turun melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.
  • PELUANG beraksi di gelanggang sendiri gagal dimanfaatkan pasukan T-Team apabila sekadar berkongsi satu mata dengan pasukan Pahang selepas seri 1-1 dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di Kuala Terengganu, malam tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.