KUALA TERENGGANU -- Pasukan sepak takraw negeri Terengganu sedang menjalani latihan di Bangkok sebagai persiapan menghadapi Sukma yang akan berlangsung di Kuantan pada Jun ini.
Pengerusi Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) Mohd Shapian Ali berkata latihan bagi 18 pemain dalam skuad itu yang bermula 14 Feb lepas akan berakahir Ahad ini.
"Kita perlu banyak belajar dari Thailand kerana mereka mempunyai ramai pemain bertaraf dunia," katanya.
Mohd Shapian berkata temasya kali ini, Terengganu mensasarkan dua pingat emas iaitu dalam acara berpasukan dan beregu.
Pasukan itu memenangi emas berpasukan pada temasya lalu. Beliau berkata tujuan PSTNT menghantar pemain-pemain berlatih di Bangkok ialah untuk memberi pendedahan serta mempelajari teknik permainan khususnya
servis.
Mohd Shapian berkata prestasi pemain-pemain Terengganu yang dibimbing bekas jurulatih kebangsaan Thailand Vittayabontal telah meningkat sejak menjalani latihan di Bangkok.
Beliau berkata sepulangnya ke tanah air, pemain-pemain itu akan didedahkan dalam kejohanan-kejohanan dalam negara untuk mengekalkan prestasi masing-masing.
Katanya lapan pemain Sukma lepas masih boleh mewakili Terengganu dalam temasya kali ini. -- Bernama
Sukma: Terengganu berlatih di Thailand
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini.
Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.






