TERENGGANU melakar sejarah tersendiri apabila diumumkan juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, malam tadi.

Dengan pungutan 56 pingat emas, 49 (perak) dan 52 gangsa pada Sukma kali ini dilihat sudah memadai menobatkan  kontinjen ‘Terengganu Nelang’ itu selaku juara edisi ke-19, temasya dwi tahunan berkenaan.

Kejayaan Terengganu selaku juara keseluruhan Sukma kali ini tambah manis apabila atlet olahraganya, Azreen Nabila Alias menyertai Sukma buat kali ketiga setelah edisi 2014 di Terengganu dan Sarawak (2016) telah dinobatkan selaku Ratu Pecut Sukma Perak 2018 setelah muncul juara bagi acara 100 meter dengan catatan rekod baharu 11.81 saat.

Catatan berkenaan sekali gus telah memadamkan rekod 11.82 saat milik atlet Johor, Siti Fatimah Ahmad yang dicipta pada temasya Sukma Terengganu 2008 lalu.

Azreen Nabila turut muncul juara 200 meter wanita dengan catatan 24.76 saat selain membantu kuartet Terengganu meraih emas bagi acara 4 x 100 wanita.

Atlet memanah Sabah, Eugenius Lo Foh Soon, 17 serta atlet olahraga, Azreen Nabila Alias, 19, dinobatkan selaku atlet lelaki dan wanita terbaik temasya pada Majlis Perasmian Penutup Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018  malam tadi.

Eugenius Lo yang menyertai Sukma buat kali kedua setelah Sukma Sarawak 2016 lalu, berjaya mencatat rekod baharu bagi acara 70 meter compound individu dengan 349 mata mengatasi 342  mata yang dicatatkan atlet Pulau Pinang, Kambeshwaran pada Sukma Sarawak 2016 lalu.

Eugenius Lo turut meraih emas bagi acara 50 meter compound individu dengan mencatat rekod baharu 351 mata mengatasi 349 mata yang dicatat Kambeshwaran pada Sukma Sarawak 2016 lalu.

Eugenius Lo turut memenangi emas bagi acara  30 meter compound individu dan menyamai 360 mata yang dicatat Kambeshwaran pada Sukma Sarawak 2016 lalu.

Eugenius Lo turut membantu Sabah memenangi pingat perak bagi acara compound berpasukan.

Eugenius Lo dan Azreen Nabila masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,000 beserta trofi yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.