TEMASYA Sukan Malaysia (Sukma) semakin menunjukkan peningkatan kualiti apabila prestasi atlet negeri secara keseluruhan menampilkan saingan kompetitif terutama dalam kalangan mereka berusia 16 hingga 21 tahun.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, perkembangan positif itu dapat dilihat menerusi taburan pingat emas antara juara, naib juara dan tempat ketiga keseluruhan, berbanding kontinjen berada di kedudukan lima ke bawah, tidak begitu ketara.

Terengganu muncul juara keseluruhan dengan kutipan 56 pingat emas, 51 perak dan 53 gangsa manakala tempat kelima hingga kelapan, melibatkan Perak di tempat kelima dengan meraih 37 emas, diikuti Pahang 33 emas dan Pulau Pinang 32 emas pada Sukma edisi ke-19 Perak, yang berakhir semalam.

“Hampir semua negeri mempamerkan peningkatan mendadak dan taburan pingat emas diperoleh negeri-negeri juga agak seimbang.

“Ini menunjukkan program pelapis negeri-negeri juga menunjukkan peningkatan. Ia satu perkembangan positif yang ditunjukkan pada Sukma kali ini.

“Program-program dijalankan majlis sukan negeri perlu ditingkatkan lagi bagi menggalakkan saingan dalam temasya Sukma pada masa akan datang supaya setanding prestasi atlet kebangsaan,” katanya pada sidang media mengenai pencapaian keseluruhan Sukma ke-19.

Untuk rekod, olahraga menyaksikan tujuh rekod kejohanan dileburkan termasuk rekod 18 tahun lompat bergalah wanita milik Roslinda Samsu; rekod 16 tahun 400m lelaki milik Zaiful Zainal Abidin dan rekod 22 tahun heptathlon dipegang Masliza Shaari.

Angkat berat yang sebelum ini digugurkan daripada sukan teras juga membuktikan kemampuan mereka apabila lima rekod kebangsaan dan 27 rekod Sukma diperbaharui.

Menembak juga menyaksikan 10 rekod kebangsaan dilakarkan cuma bagi sukan renang hanya satu rekod kebangsaan dan 14 rekod kejohanan dilakukan.

“Namun masih ada sukan masih jauh ketinggalan seperti gimrama, gimnastik dan terjun yang masih didominasi negeri-negeri yang sama. Kita juga dapat lihat negeri-negeri seperti Sabah sudah mula meningkat dan mempamerkan saingan hebat dalam sukan hoki, sepak takraw wanita dan silat,” katanya.

Ahmad Shapawi berkata, pada temasya Sukma kali ini, 1,381 atlet (780 lelaki dan 601 wanita) daripada program Kita Juara dan Pelapis terpilih mewakili negeri masing-masing.

Daripada jumlah itu, 109 atlet (1.70 peratus) daripada program Kita Juara; 156 atlet (2.43 peratus) program Pelapis Kebangsaan, 30 atlet Serantau (0.46 peratus) dan 1,086 atlet (16.86 peratus) daripada program Pelapis Negeri.

Lima pemenang pingat pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 - Muhammad Fauzi Kaman Shah, Ilham Wahab dan Nur Fatin Solehah Abdul Rahman (pelayaran) serta Ng Eain Yeow dan Aifa Azman dalam acara skuasy, turut membantu kontinjen negeri kelahiran mereka meraih emas.

Tujuh atlet Program Podium - Abdul Lotif Ramly (olahraga); Syed Ezwan Syed De dan Aidil Aiman Zawawi (sepak takraw); Ng Eain Yeow (skuasy); Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Muhammad Khairil Nizam Rasol serta Mohamad Shariz Efendi Mohd Shahrin (berbasikal), turut menyertai temasya itu dan membantu kontinjen negeri masing-masing dalam pungutan pingat emas. - Bernama