SUKAN Malaysia (Sukma) ke-19 Perak 2018 berjaya membuktikan Malaysia tidak ketandusan bakat muda untuk dibentuk menjadi bintang di peringkat antarabangsa.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata fakta ini dapat dilihat apabila dua rekod kebangsaan dan 17 rekod kejohanan dipecahkan pada temasya edisi ke-19 ini.

"Kita berbangga dengan kejayaan atlet-atlet muda kita yang berjaya memecahkan dua rekod kebangsaan dalam acara masing-masing, iaitu perenang Johor, Tia’a Faang Der dan atlet angkat berat Wilayah Persekutuan,  Jabriella Teo Samuel.

"Kejayaan atlet muda berusia 16 tahun dari Johor, Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin yang merangkul dua pingat emas dalam acara menembak contoh pentingnya bakat sukan negara dicungkil dan dipupuk dari peringkat awal untuk menggalas cabaran atlet senior kebangsaan di masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada majlis Penutup Sukma ke-19 Perak 2018 di Stadium Perak di sini malam ini. Perasmian penutup disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata penganjuran Sukma edisi ke-19 itu telah mencetuskan minat yang mendalam rakyat negeri Perak terhadap aktiviti sukan menerusi kehadiran menggalakkan kesemua venue pertandingan di 12 daerah.

"Di atas semangat ini, suka saya umumkan kerajaan negeri akan mengorak langkah menjadikan bandaraya Ipoh sebagai Bandaraya Sukan, bukan sahaja untuk acara sukan arus perdana malah hab sukan ekstrem dan e-Games negara," katanya.

Selain itu, Ahmad Faizal turut menzahirkan rasa bangga apabila Sukma Perak 2018 diterima sebagai antara yang terbaik dalam sejarah penganjurannya.

"Terima kasih atas kerja keras semua, kita telah berjaya meletakkan tanda aras baharu kepada penganjuran Sukma," katanya.

Pada majlis itu, atlet memanah negeri Sabah, Eugenius Lo Foh Soon dan ratu pecut Azreen Nabila Alias dari Terengganu, masing-masing dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati Sukma ke-19.

Kontinjen Terengganu pula ditabalkan sebagai juara keseluruhan selepas mengutip 56 pingat emas, 51 pingat perak dan 53 gangsa. - Bernama