IPOH - Seorang atlet Futsal Wanita Sabah dikuarantin selepas disyaki mengalami jangkitan saluran pernafasan.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How berkata, laporan mengenai kes itu diterima Pejabat Kesihatan Daerah Manjung daripada Hospital Angkatan Tentera Lumut pada 7 September lalu.

Katanya, berdasarkan siasatan, atlet berusia 16 tahun itu mengalami gejala demam pada 2 September dan bengkak di kedua-dua leher sejak 3 September.

"Siasatan lanjut mendapati seramai 11 lagi atlet futsal Sabah dikesan mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan ringan.

"Mereka telah diberikan rawatan dan sampel klinikal untuk pengesahan diagnosis telah diambil," katanya pada sidang media bersama Sekretariat Sukma, Majlis Sukan Negara dan Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, kes yang dialami atlet wanita itu mempunyai sejarah kontak dengan kes disyaki beguk semasa menjalani latihan di Sabah pada pertengahan bulan Ogos 2018 dan telah mendapat rawatan di sebuah klinik di Sabah.

Howard berkata, kesemua atlet yang mempunyai gejala sama telah diasingkan untuk pemantauan status kesihatan dan langkah-langkah pencegahan turut dilaksanakan.

Katanya, disebabkan keadaan itu, pihak sekretariat hanya akan menangguhkan perlawanan membabitkan skuad Futsal Wanita Sabah.

"Kesemua atlet yang terdedah dinasihatkan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami sebarang gejala.

"Bagaimanapun kejadian ini adalah terkawal dan Jabatan Kesihatan Perak akan terus memantau situasi ini," katanya.