PEMBINAAN Empire City Mall, venue yang bakal menganjurkan acara luncur ais dan hoki ais pada Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur, kini dalam fasa akhir dan boleh diuji seawal bulan depan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang melawat venue berkenaan, berkata, pembinaan permukaan ais bernilai RM30 juta oleh Mammoth Empire Holdings Sdn Bhd (MEH) itu, kini dalam proses melicinkan permukaan ais sebelum atlet negara memulakan latihan dalam masa terdekat.

"Dengan hanya 60 hari sebelum bermula Sukan SEA 2017, venue ini sudah bersedia. Kerja-kerja memastikan permukaan ais berada pada tahap terbaik sedang dilakukan. Kerja-kerja melicinkan lagi permukaan ais masih berlangsung dan dijangka siap sepenuhnya hujung bulan ini.

"Atlet juga berpuas hati dengan kemudahan di sini, mereka boleh mula berlatih di sini bulan depan, iaitu tempoh lebih sebulan untuk berlatih di venue. Pihak Empire memaklumkan venue akan diperkemas dengan pelbagai kemudahan lain," katanya dalam kenyataan daripada Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (Masoc), hari ini.

Khairy turut mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Urusan Kumpulan MEH, Datuk Sean Ng Yee Teck atas usaha menyiapkan venue sukan ais itu.

Mengikut jadual asal, venue berkenaan sepatutnya disediakan April lepas dan acara ujian diadakan pada Mei, namun berikutan kelewatan dalam pembinaan, acara ujian dijangka diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Venue dengan kapasiti kira-kira 500 penonton itu, bakal mencatat sejarah apabila sukan ais dianjurkan buat kali pertama dalam temasya sukan dwitahunan itu bermula 20 hingga 30 Ogos ini.

Sembilan pingat emas akan dipertandingkan di venue berkenaan, melibatkan enam emas acara luncur ais 'short track speed skating', dua emas acara luncur ais 'figure skating' dan satu emas dalam acara hoki ais. - Bernama

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PEMAIN tenis kerusi roda negara, Abu Samah Borhan yakin dapat memecah dominasi Thailand bagi kategori terbuka lelaki dalam Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017).
  • SKUAD olahraga paralimpik menyasarkan 40 pingat emas daripada 133 acara yang dipertandingkan pada Sukan Para Asean ke-9 yang membuka tirainya bermula 17hingga 23 Sept ini.
  • SKUAD angkat berat negara menutup gelanggang temasya Sukan Sea ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) hari ini dengan menghadiahkan pingat perak melalui kategori 85 kilogram (kg) oleh Mohamad Fazrul Azrie Mohdad.
  • LEONG Mun Yee-Traisy Vivien Tukiet tambah emas ke-12 buat skuad terjun negara menerusi acara 10 meter platform Seirama Wanita Sukan SEA kali ke-29 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.
  • JUARA dunia Mohd Al Jufferi Jamari bakal menamatkan zaman bujangnya, selepas meraih pingat emas Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dalam acara tanding Kelas Putra E buat kali keempat berturut-turut di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini, semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.