SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berjaya menyumbangkan satu pingat emas kepada kontinjen negara menerusi acara kuda lasak individu selepas menamatkan perlumbaan sejauh 80 kilometer (km) dengan catatan masa tiga jam, 48 minit 38 saat di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), Lembah Bidong, sebentar tadi.

Lebih manis baginda yang menunggang RTES Annavesary dengan purata kelajuan 20.994 km sejam turut melakarkan rekod baharu kejohanan yang dimenangi oleh atlet negara, Sulaiman Muda (6:26:04s) di Sukan SEA Myanmar, 2013.

Pingat perak dimenangi oleh seorang lagi atlet negara, Mohd Bulkhari Rozali (3:48:42s) selepas menewaskan peserta dari Thailand, Warit Khuntarapon (4:16:05s) untuk gangsa.

Skuad kuda lasak negara turut menambah satu lagi pingat emas bagi acara berpasukan menerusi gandingan Mohamad Fuad Hashim, Mohd Adhwa Embong dan atlet tunggal wanita acara itu, Azizatul Asma Abdullah dengan catatan masa keseluruhan 11:31:30s.

Perak menjadi milik kontinjen Thailand menerusi trio Wipawan Pawitayalarp, Kitikorn Nongbeung dan Kanapos Taytaisong dengan catatan masa 16:09:22s meninggalkan pasukan Kemboja untuk pingat gangsa yang dibarisi Sovacnchandara LY, Sopheaktra Lon serta Visal Phay (16:38:39s).