PENGKRITIK dan penganalisis sukan, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim melihat sukan badminton negara berada dalam situasi bahaya dan kemungkinan bakal kehilangan statusnya sebagai antara kuasa besar badminton dunia.

Menurutnya, keadaan itu berlaku akibat ketiadaan pemain berkualiti yang mampu dilahirkan lagi selepas berakhirnya era Datuk Lee Chong Wei beberapa tahun lagi.

Katanya, keadaan itu pastinya bakal mengundang rasa sedih peminat negara apatah lagi sukan badminton merupakan antara sukan utama di negara ini.

"Kalau ikutkan sejarah, negara dapat membentangkan pemain yang cemerlang selepas Wong Peng Soon iaitu Eddy Choong, Misbun Sidek dan kini Chong Wei.

"Tetapi pada masa kini, keadaan mula berubah kerana kita gagal mencari pemain yang mampu meneruskan kecemerlangan mereka. Saya risau Malaysia akan hilang sengat dan memerlukan masa lebih lama untuk bangkit kembali menjadi antara negara terkuat dalam sukan ini," katanya.

Mengulas lanjut, kata Kay Kim, faktor utama yang menjadi kepada kelemahan untuk membangunkan pelapis berkualiti adalah sifat individu itu sendiri yang tidak bersemangat bermain untuk negara selain tiada skil yang berkualiti.

"Saya dapati cara generasi bermain badminton telah jauh berbeza dengan cara zaman dahulu. Mereka nampak tidak faham bagaimana legenda seperti Dave Freeman dan Peng Soon bermain. Sejarah sukan bukan perkara yang boleh diabaikan.

"Selain itu, masalah ini timbul kerana sekolah tidak lagi memberi perhatian kepada sukan," katanya.

Sementara itu, beliau turut melihat Chong Wei boleh terus bermain dan bakal mengalas harapan untuk tempoh dua atau tiga tahun lagi.

"Chong Wei boleh terus bermain. Itu terpulang kepada dia tetapi negara perlu ada seorang dua yang sudah sampai ke peringkat di antara terbaik di dunia.

"Kalau negara masih mengharapkan Chong Wei menjadi 'Raja Badminton', besar kemungkinan dalam setahun dua daripada sekarang, India, Korea Selatan dan  Jepun akan berjaya merampas gelaran juara dunia," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • LEBIH 100 regu sekitar Lembah Klang menyahut cabaran Kejohanan Badminton FBS Nusantara 2017 di Arena Badminton Court di Kampung Sungai Kayu Ara, Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini, lapor SYAIRI SHAARI.
  • JAGUH perseorangan badminton para negara, Cheah Liek Hou merangkul gelaran juara dunia kategori SU5 (kecatatan anggota bahagian atas) setelah menumpaskan Suryo Nugroho dari Indonesia pada aksi final Kejohanan Dunia BWF-Para di Ulsan Korea Selatan, semalam.
  • JAGUH badminton negara Datuk Lee Chong Wei berjaya menewaskan pemain utama China, Chen Long dalam pelawanan akhir Kejohanan Siri Super Terbuka Hong Kong, sebentar tadi.
  • PASUKAN badminton negara akan berdepan saingan lebih sukar dari negara di peringkat Asia dan Asia Tenggara pada Kejohanan Berpasukan Asia di Kedah pada 6 hingga 11 Februari tahun depan.
  • PEMAIN Paralimpik badminton negara sudah bersedia untuk menggenggam gelaran juara pada Kejohanan Badminton Para Dunia di Ulsan, Korea Selatan, yang membuka tirai esok hingga 26 November ini.