KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) masih menaruh harapan skuad ragbi negara mampu menghadiahkan sebutir pingat biarpun tidak diletakkan sebarang sasaran oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Presidennya, Datuk Shahrul Zaman Yahya mengakui bukan mudah skuad itu berdepan dengan negara-negara hebat dan jauh berpengalaman seperti Hong Kong, Korea Selatan, Sri Lanka, Filipina dan China namun tidak ada apa yang mustahil.

“Tidak seperti Sukan SEA tahun lalu, skuad negara lebih banyak menyertai kejohanan berbanding untuk persediaan ke Sukan Asia. Namun begitu pemain perlu terus fokus dan mempersiapkan diri kerana Sukan Asia tidak sampai dua bulan lagi.

Kejohanan Jemputan Sapporo Sevens di Jepun, awal bulan depan menjadi persiapan strategik terakhir skuad sebelum berlepas ke Jakarta,” katanya selepas majlis penyerahan bola penajaan Gilbert di Wisma OCM hari ini.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama Jepun, Taiwan dan tuan rumah Indonesia.

Sebagai rekod, Malaysia gagal meraih penamat podium dalam dua edisi terakhir Sukan Asia dengan masing-masing pada edisi Guangzhou 2010 sekadar meraih tempat kelima dan kesembilan (Incheon 2014).

Sementara itu, Shahrul Zaman berkata sebagai persediaan, skuad negara juga akan menyertai dua kejohanan tempatan Perlis Sevens (14 dan 15 Julai ini) dan Kuching Sevens (21 dan 22 Julai).

Sukan Asia 2018 di Indonesia akan berlangsung pada 18 Ogos hingga 2 Sept depan. - Bernama