Le Tour de Langkawi 2012
$entry.content.caption.value

PELUMBA berpengalaman, Suhardi Hasan dijangka mengetuai pasukan kebangsaan bagi menghadapi kejohanan berbasikal berprestij, Le Tour de Langkawi 2012 (LTdL 2012) yang membuka tirai pada 24 Februari ini.

Jurulatih skuad lebuh raya negara, Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan berkata, keputusan ketua pasukan Ma­laysia untuk cabaran LTdL tahun ini belum dilantik secara rasmi.

“Kita akan lantik tidak lama lagi. Saya rasa calon pelumba paling berpengalaman ialah Suhardi kerana dia merupakan pelumba veteran dan mempunyai pengalaman bersama pasukan kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata, selain Su­hardi, lima lagi yang sah mewakili negara ialah Mohd Nor Rizuan Zainal, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, Amir Mustafa Rusli, Muhamad Rauf Nur Misbah dan Ahmad Falanie Ali.

“Skuad kita baru sahaja menamatkan latihan fasa akhir di Bangi (Selangor) kelmarin iaitu latihan intensif yang dibuat sejak dua bulan lalu di mana pelumba telah berkayuh sejauh 10,560 kilometer dan diharapkan kecergasan (mereka) berada di tahap terbaik,” katanya.

Syed Muhammad Hussaini berkata, peluang pasukan negara meraih tempat teratas pada mana-mana peringkat, agak sukar kerana kejohanan itu disertai beberapa pasukan bertaraf profesional dari luar negara.

“LTdL kali ini dilihat sebagai fokus pelumba profesional untuk persiapan diri bagi menghadapi temasya Sukan Olimpik London 2012, maka pastinya mereka akan gunakan peluang ini untuk menonjolkan yang terbaik,” katanya.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.