IPOH - Skuad Liga Super Perak akan menggunakan Stadium TLDM Lumut sebagai gelanggang tuan rumah pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018 ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, Stadium TLDM dipilih berikutan Stadium Perak yang kini melalui ubah suai, hanya boleh digunakan pada Mac depan. Sementara kerja-kerja naik taraf Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) pula dijangka siap pada penghujung Februari bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

Menurutnya, kerja-kerja penyelenggaraan telah dilakukan di Stadium TLDM Lumut melibatkan antaranya pencahayaan dan bilik persalinan sebagai persediaan sepak mula Liga-M, awal Februari ini.

“Dengan ini, kita ada tiga stadium yang boleh kita gunakan bagi musim 2018. Stadium Perak dijangka boleh guna mulai Mac dan dari segi rumput, tempat duduk penonton tak ada masalah, cuma kita nak dapatkan kelulusan untuk trek.

“Stadium TLDM pula kita hanya jalannkan kerja untuk pastikan pencahayaan, bilik persalinan dan di Manjung, kita jadikan stadium di sana sebagai alternatif lain.

“Kita juga akan sediakan dua padang latihan, melibatkan padang rumput biasa dan satu padang sintetik. Kedua-dua padang ini boleh mula digunakan pada April. Kita juga sediakan kemudahan lampu untuk kemudahan latihan di waktu malam dan juga tempat duduk penonton,” katanya.

Abdul Puhat berkata kepada pemberita pada majlis pengenalan pemain import pasukan Perak di Menara Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) di SOHO 2, semalam.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :