MEMORI indah bersama  Sultan Kedah, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pastinya akan terpahat di minda semua pemain dan penyokong sebagai salah satu faktor kebangkitan Kedah di persada bolasepak tanah air.

Bekas jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah berkata, kemangkatan baginda merupakan satu tamparan yang cukup besar buat semua pemain dan pasukan yang mendapat gelaran Lang Merah itu.

Menurutnya, Almarhum Tuanku telah mempamerkan semangat dan sokongan luar biasa terhadap sukan bolasepak dan sikap ramah mesranya menyapa beliau bersama pasukan Kedah (semasa bergelar pemain) pada tahun 70-an lagi di Taman Maxwell (kini dikenali Taman Rimba) masih segar di ingatannya.

"Dalam pada itu semasa era kebangkitan Kedah, Almarhum Tuanku sendiri berangkat ketika Kedah melangkah ke final untuk memberi sokongan dan akhirnya Kedah berjaya muncul juara Piala Malaysia pada tahun 1990.

Apabila saya diberi kepercayaan untuk membawa pasukan senior bermula 2004, antara kenangan yang menyentuh hati ini dalam kerjaya bola sepak adalah kebanggaan membawa pasukan Kedah sehingga merangkul kejayaan kejuaraan berganda tiga piala pada 2007 dan 2008 di bawah kepimpinannya. Ini adalah antara hadiah terbaik buat Alharhum Tuanku," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Azraai Khor, sikap rendah diri Almarhum Tuanku yang menyapa dan meluangkan masa bersama pemain turut menjadi pemangkin motivasi buat semua pemain Kedah.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.