SKUAD Tok Gajah ditagih supaya mengekalkan momentum kemenangan yang dicapai dalam tiga perlawanan sebelum ini, apabila bertemu Selangor pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini, esok.

Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata, Selangor merupakan musuh tradisi Pahang, dan perlawanan itu menuntut kesemua pemain bekerja keras untuk memastikan pasukan terus berada dalam kelompok teratas liga.

"Malah, tidak kira bertemu pasukan mana sekalipun, kesemua pemain perlu fokus, mengekalkan prestasi dan mencatat kemenangan seperti ketika menundukkan Kelantan 2-1 di Kota Bharu pada 8 April lalu.

"Kita dapat lihat Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) sedang bersaing dengan kita, jadi saya berharap pemain dapat mengekalkan rentak kemenangan untuk kita terus berada di persada liga," katanya di sini hari ini.

Dollah berkata setakat ini, kesemua pemainnya berada pada prestasi terbaik untuk diturunkan.    

"Masalah saya sama seperti dulu, siapa yang akan disenaraikan dalam kesebelasan utama kerana kesemua pemain menunjukkan prestasi yang baik.

"Apa pun saya akan pastikan kesebelasan terbaik akan diturunkan ketika menentang Selangor. Ini penting kerana fokus utama kita adalah untuk mencapai kemenangan dan berada di puncak liga," katanya.

Ditanya mengenai prestasi pemain import Pahang, Matheus Alves yang muncul antara penjaring utama Pahang setakat ini, Dollah berkata beliau tidak peduli sesiapa pun yang akan menjaringkan gol.

"Namun, alangkah bagus kalau Alves dapat mengekalkan prestasinya itu...tetapi saya tidak boleh mengharapkan dia seorang sahaja.                 

"Kalau boleh saya mahu semua pemain termasuk barisan pertahanan untuk menjaringkan gol," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh duduk bersama mulai tular selepas dimuat naik dalam laman Facebook Johor Southern Tigers semalam.
  • BIARPUN dilanda kejutan dengan penggantungan Ketua Jurulatih,Dollah Salleh tidak melunturkan semangat Tok Gajah untuk melakar kemenangan 2-0 ke atas Melaka United (MU) dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini sebentar tadi.
  • NASIB malang menimpa pasukan Pahang selepas Ketua Jurulatihnya, Dollah Salleh dikenakan hukuman penggantungan 18 perlawanan dan didenda RM30,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.
  • KETUA Jurulatih Pahang, Dollah Salleh kecewa dengan mutu pengadilan yang disifatkan berat sebelah ketika Tok Gajah tewas 1-2 kepada Felda United dalam saingan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam kelmarin.
  • TIADA kekesalan di raut wajah Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh walaupun pasukan kendaliannya gagal menjulang Piala FA selepas tewas 2-3 di tangan Kedah di Stadium Shah Alam kelmarin.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.