MALAYSIA meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Brunei 2-0 pada aksi kedua Kumpulan B Kejohanan Bola Sepak Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-19 di Jawa Timur, Indonesia, hari ini.

Kemenangan kedua tersebut menyaksikan skuad muda negara kendalian Bojan Hodak mendahului carta Kumpulan B dengan kutipan enam mata selepas beraksi dua perlawanan.

Pada aksi di Stadium Joko Samudro itu, Muhammad Syahmi Zamri membuka tirai jaringan seawal minit keenam perlawanan sebelum Muhammad Nizarruddin Jazi menjaringkan gol kedua, selang tujuh minit kemudian, demikian menurut laman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Malaysia dijadual berdepan Timor Leste pada aksi ketiga Kumpulan B di venue yang sama, Ahad ini.

Skuad muda negara sebelum ini, menewaskan Kemboja 2-0 pada aksi pembukaan Kumpulan B di venue sama, Selasa lepas.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Timor Leste, Kemboja dan Brunei.

Juara bertahan, Thailand pula mengetuai Kumpulan A bersama Indonesia, Vietnam, Singapura, Laos dan Filipina. - Bernama