SKUAD Jang melakar kemenangan penuh bersejarah apabila menundukkan Pulau Pinang dengan jaringan 4-1 di laman sendiri untuk mara ke pusingan suku akhir Piala FA 2017, malam tadi.

Lebih menarik, tiga daripada empat gol itu dijaringkan oleh Andrew Tuck sepanjang masa tambahan iaitu pada minit ke-106, 112 dan 119. 

Satu lagi jaringan Negeri Sembilan dihasilkan oleh Marko Simic yang meledakkan rembatan kencang dari jarak kira-kira 35 meter pada minit ke-44.

Sebelum itu, aksi separuh masa pertama tampak cukup mendebarkan dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan menerusi gerakan pantas untuk mencipta jaringan.

Mohd Noor Hazrul Mohd Mustafa hampir memecah kebuntuan tatkala permainan mencecah 32 minit, bagaimanapun dapat ditepis keluar Syed Adney Syed Hussein.

Berselang 12 minit kemudian, Bruno Suzuki pula terlepas peluang untuk memahat nama sebagai penjaring berikutan sepakannya terlalu serong ke sebelah kiri gawang.

Memasuki minit ke-39, penyerang import Skuad Hoben Jang Hoben berdarah kacukan Jepun Brazil itu sekali lagi berputih mata.

Walaupun percubaannya kali ini tepat menuju ke sasaran, bola terkena benteng pertahanan lawan lalu terbias sedikit melepasi palang.

Sementara itu, percubaan terbaik Pulau Pinang hadir pada minit ke-17 tetapi ancaman Nigel Dabingyaba dalam kotak penalti sempat dipatahkan Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman yang pantas merebahkan badan.

Memasuki babak kedua, anak buah Ashley Westwood dilihat mula memperkemaskan gerakan dan menggandakan asakan.

Kekalutan di depan pintu gol Skuad Rusa dimanfaatkan sepenuhnya oleh Reinaldo Lobo untuk menyamakan kedudukan bagi sang Harimau Kumbang pada minit ke-47.

Tersentak dengan keadaan itu, Skuad Hoben Jang Hoben segera membalas serangan untuk berada di depan.

Namun setiap asakan sama ada tersasar atau tepat kepada penjaga gawang, lantas menyaksikan perlawanan terus terikat 1-1 sehingga terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.