SKUAD Negeri Sembilan sudah bersedia dalam memberikan saingan sengit untuk Liga Super 2018 akan datang selepas melakukan beberapa persiapan rapi.

Perkara tersebut dinyatakan Pengurus pasukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Haslah Mohd Amin.

Menurutnya, biarpun pasukan yang dibimbing jurulatih Jorg Steinnebrunner dan dibantu Mohd Asri Ninggal belum diuji perlawanan sebenar, namun hasil daripada aksi persahabatan yang diadakan, jelas menampakkan kemajuan positif.

"Terbaru, Negeri Sembilan telah merekodkan kemenangan 2-1 ke atas Marcerra United FC, dalam aksi persahabatan di Paroi, semalam.

"Kita masih ada dua lagi ujian menentang skuad Bawah 19 Tahun negara (B-19) pada 25 Januari kemudian disusuli menentang Home United FC dari Singapura pada 27 Januari.

"Perlawanan persahabatan yang terakhir itu boleh dianggap penting sebelum Skuad Jang memulakan langkah pada saingan Liga Super 2018.

"Saya yakin menerusi persiapan rapi kali ini, pasukan mampu menjadi pencabar terkuat dan dapat capai sasaran yang ditetapkan,"katanya di sini.

Beliau berkata, pihaknya juga yakin dengan kemampuan pemain Korea Selatan, Kim Do Heon dalam menggalas tugas selalu Ketua Pasukan.

Jelasnya, pihak pengurusan mengharapkan pemain yang beraksi di posisi tengah itu dapat mencurahkan pengalaman serta kemahirannya kepada pemain muda bagi membantu meningkatkan prestasi mereka.

"Secara keseluruhannya saya berpuas hati kerana dapat mengumpulkan pemain luar dan tempatan di mana mereka amat bagus sekali dan menunjukkan komitmen tinggi.

"Sekarang ini hanya terserah kepada jurulatih sahaja dalam membentuk cara permainan yang sesuai melihat kepada kekuatan secara individu dan berpasukan,"katanya.