ATLET ski air dan wakeboard negara perlu berwaspada dengan cabaran Indonesia yang dilihat sebagai pencabar utama dalam persaingan merebut pingat emas  pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pengurus pasukan ski air dan wakeboard negara Ahmad Azuddin Arshad berkata negara itu mempunyai atlet yang berkemampuan dan berpengalaman,  seterusnya memberi kelebihan kepada Indonesia untuk membawa pulang pingat terutama emas.

"Indonesia adalah pencabar utama kita kerana mereka ada kumpulan yang besar dan atlet berkemampuan bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita. Selain itu, Singapura juga boleh menjadi pencabar yang hebat terutama dalam acara wakeboard," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau tetap yakin dengan kebolehan ratu ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah, 14, untuk menghasilkan sekurang-kurangnya dua pingat emas dalam temasya sukan kali ini.

"Tahap prestasi dan persembahan dia memang lebih baik daripada pesaing dari negara lain. Memang ada peningkatan yang baik daripada Aaliyah untuk persediaan kali ini cuma dalam masa terdekat ini kedudukan mereka (pesaing) agak hampir," katanya.

Dalam temasya sukan SEA yang akan berlangsung bermula 19 hingga 30 Ogos ini, Aaliyah tersenarai dalam kesemua acara ski air (tricks, slalom, jump dan individu keseluruhan) dan wakeboard.

Untuk rekod, Aaliyah pernah muncul atlet termuda memenangi pingat emas dalam sukan ski air pada Sukan SEA 2011 di Indonesia dan kemudian mengulangi pencapaian itu dengan meraih dua emas dalam acara tricks dan individu keseluruhan pada temasya di Singapura dua tahun lepas.  

Acara itu tidak dipertandingkan pada Sukan SEA 2013 di Myanmar.

Ahmad berkata bagi acara slalom, Aaliyah akan mencabar pemenang pingat emas Sukan Sea 2011 dan 2015 bagi acara tersebut Sasha Christian manakala bagi acara jump, Aaliyah akan berhadapan dengan juara bertahan Sukan SEA Rossi Amir daripada Indonesia.   

"Kalau dia boleh pamerkan aksi terbaik dan dapat mengejar kedua-dua pesaing ini kita pasti boleh dapat emas untuk keseluruhan.

"Jadi kita harap nasib akan menyebelahi kita dengan cuaca, situasi dan keadaan atlet itu sendiri,”  katanya.

Katanya, beliau tidak akan memberi sebarang tekanan kepada pemenang dua pingat emas pada Sukan SEA 2015 itu untuk mencapai keputusan lebih dari jangkaan agar atlet muda itu dapat memberikan persembahan yang terbaik.

"Kita tidak boleh nak bagi tekanan kepada dia. Biar dia rasa seronok dengan keadaan pertandingan itu dan dapat buat sama seperti latihan. Tanpa tekanan mungkin dia boleh berikan yang terbaik dan dapat lebih daripada apa yang kita sasarkan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kemampuan atlet termuda dalam kontinjen negara, Adam, 9, dan Aiden Yoong Hanifah, 11, beliau berkata kedua-dua adik lelaki Aaliyah itu mempamerkan banyak peningkatan selepas balik daripada latihan di Amerika Syarikat.

"Aiden sebelum ini memang dapat gangsa pada Sukan Sea 2015 bagi acara tricks dan kita jangka kali ini dia boleh beraksi lebih baik daripada sebelum ini dan dapat lebih baik daripada gangsa. Bagi Adam kita harap dia dapat buat aksi peribadi terbaik selain dapat beri pendedahan kepada dia," katanya.

Pada Sukan SEA kali ini, acara ski air dan wakeboard yang berlangsung pada 25 hingga 29 Ogos di Kompleks Sukan Air Putrajaya menawarkan 11 pingat emas. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEORANG atlet negara yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada Ogos lalu dipercayai adalah antara tiga atlet yang gagal ujian doping.
  • PEMAIN tenis kerusi roda negara, Abu Samah Borhan yakin dapat memecah dominasi Thailand bagi kategori terbuka lelaki dalam Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017).
  • SKUAD olahraga paralimpik menyasarkan 40 pingat emas daripada 133 acara yang dipertandingkan pada Sukan Para Asean ke-9 yang membuka tirainya bermula 17hingga 23 Sept ini.
  • SKUAD angkat berat negara menutup gelanggang temasya Sukan Sea ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) hari ini dengan menghadiahkan pingat perak melalui kategori 85 kilogram (kg) oleh Mohamad Fazrul Azrie Mohdad.
  • LEONG Mun Yee-Traisy Vivien Tukiet tambah emas ke-12 buat skuad terjun negara menerusi acara 10 meter platform Seirama Wanita Sukan SEA kali ke-29 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.